Powered by Blogger.

Saturday, May 26, 2018

Keluarga Sedang Pujuk Jamal Untuk Serah Diri.


Peguam kepada Datuk Seri Jamal Md. Yunos sudah dapat berhubung dengan ahli keluarga terdekat Pengerusi NGO-NGO Malaysia itu dan yakin dapat memujuknya tampil menyelesaikan segera isu proses ikat jamin.

Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, beliau dapat berhubung dengan ahli keluarga terdekat anak guamnya, petang tadi tetapi keluarga Jamal tidak menyatakan di mana Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu berada.

"Kita dapat menghubungi keluarga serta rakan terdekat Jamal dan seterusnya akan berusaha untuk menyakinkan Jamal agar segera menyelesaikan proses jaminan tersebut termasuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya.

"Berikan Jamal sedikit tempoh untuk beliau menyelesaikan isu ini," kata Mohd. Imran ketika dihubungi, di sini hari ini.

Ditanya apa yang mendorong Jamal menghilangkan diri, Mohd. Imran berkata, beliau tidak menolak kemungkinan anak guamnya itu tertekan atau trauma kerana ini kali pertama berdepan prosedur pertuduhan di luar kamar mahkamah.

Sebelum ini, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke Hospital Ampang Puteri, petang semalam.

Jamal sebelum itu didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital tersebut.

Semalam Jamal dilaporkan lari semasa prosiding mahkamah di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri, yang mana dia ditahan tetapi hilang semasa proses ikat jamin.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat, pemimpin 'gerakan baju merah' itu didakwa oleh seorang majistret di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.

"Dia meninggalkan hospital semasa proses dokumentasi untuk ikat jamin malam ini.

"Kami akan mencarinya (segera) untuk menyelesaikan proses itu," kata Fadzil.

Percubaan menghubungi Jamal untuk mendapat maklum balas tidak berjaya manakala akaun WhatsAppnya menunjukkan dia tidak aktif sejak 10 Mei lalu.

Jamal sedang menerima rawatan kerana sakit belakang di hospital berkenaan.

Jamal, 48, didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda RM400 jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Jamal diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Jun depan sebagai sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Dalam kejadian 5 Oktober tahun lalu itu, Jamal dikatakan mengetuai bantahan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ (BBF17) di hadapan pejabat pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

Selasa lalu, Jamal turut ditahan di hospital sama bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 34 Akta Senjata 1960 selepas terdapat laporan terhadapnya yang dikatakan senjaga mempamerkan senjata apinya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor pada 12 Mei lalu berkata, laporan polis dibuat berhubung gambar tular yang memaparkan seorang lelakan mirip Jamal dengan gambar tersisip di pinggang.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan daripada gambar berkenaan sama ada ia senjata betul atau palsu.