Maut Tersepit Mesin Memproses Kertas


PULAU PINANG- Seorang lelaki yang dipercayai sedang menyelenggara sebuah mesin memproses kertas, maut selepas mangsa tersepit di dalam mesin tersebut. Kejadian dikatakan berlaku di sebuah kilang berdekatan Simpang Ampat, Nibong Tebal pada 5.15 pagi hari ini.

Mangsa yang dikenali sebagai Tan Hong Seng,52 tahun yang berasal daripada Padang Lalang, di sahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Superintendan Shafee Abd Samad, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), berkata pihaknya telah menerima panggilan kecemasan daripada pegawai keselamatan kilang berkenaan pada pukul 5.30 pagi mengenai kejadian tersebut.

"Pemeriksaan awal mendapati, mangsa sudah pun meninggal dunia akibat kepalanya tersepit pada bahagian mesin memproses kertas yang berada dikilang berkenaan.

"Laporan keterangan daripada rakan sekerja mangsa menyatakan mangsa membuka plat besi sebelum mesin berkenaan secara tiba-tiba berjalan secara automatik,"katanya.

Menurutnya lagi, pihak polis telah meminta bantuan daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Bakap untuk mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit pada bahagian mesin itu.

Mayat mangsa kini telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk dibedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.Editor: Ila