Wanita Didakwa Pukul Hingga Cedera Bekas Suami


Kuala Lumpur – Tindakan seorang wanita yang memukul hingga mencederakan bekas suaminya minggu lepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret  hari ini.

Wanita yang dikenali sebagai Norazlin Razlan berusia 28 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mahyudin Mohmad Som.

Norazlin Razlan didakwa menyebabkan kecederaan di bahagian muka  Mohd Faizal Abd Latif, 36, di sebuah bangunan di Bandar Tun Razak, Cheras, di sini pada 4 petang, 13 Disember.

Sekiranya bersalah Norazlin Razlan juga boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap Norazlin Razlan.

Bagaimanapun Norazlin Razlan yang diwakili peguam S. Narasimham memohon jaminan rendah atas alasan tertuduh tidak bekerja dan bapanya hanya bekerja sebagai pekebun.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Januari depan untuk sebutan semula kes. -Bernama