3 Budak Sekolah Rendah Maut Ditetak Lelaki Berparang


NIGERIA - Seorang lelaki berusia 30 tahun yang bersenjatakan parang dipercayai telah membunuh tiga kanak-kanak dan telah mencederakan seorang guru selepas menyerang sebuah sekolah rendah di timur laut Nigeria.

Serangan itu dikatakan berlaku pada jam 9.30 pagi waktu tempatan di Sekolah Rendah Jafi di barat daya negeri Borno ketika waktu rehat, menurut AFP.

Namun menurut salah seorang saksi, Kasimu Ibrahim yang tinggal berhampiran sekolah itu berkata, suspek berkenaan memasuki bahagian penjagaan kanak-kanak di sekolah berkenaan.

Jelasnya, "lelaki itu kelihatan seperti berusia dalam lingkungan 30-an dan berjanggut. Dia dikatakan terus memasuki kelas dan menyerang kanak-kanak yang ada.

"Mangsa pertama dan kedua ialah kanak-kanak berusia antara lima dan tujuh tahun yang ditetak sehingga mati manakala mangsa ketiga ialah seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun," katanya, lapor BH.

Jelas beliau, kanak-kanak terbabit meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Difahamkan penyerang terbabit kini sedang berada di dalam tahanan polis manakala pihak berkuasa pula gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen. Sumber: Suara.Tv