Skip to main content

Suami Isteri Berusia 28 Dan 29 Tahun Ditahan Tengah Malam Di Rumah Mereka


Sepasang suami isteri dipercayai pengedar dadah antara tiga individu ditahan bersama lebih 7 kilogram (kg) heroin dan lebih 3kg ganja dalam dua serbuan berasingan di daerah Manjung dan Kampar, semalam.

Ketua Polis Perak, Mohd Yusri Hassan Basri berkata suami isteri berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan pada 12.05 tengah malam di sebuah rumah di Sitiawan, Manjung.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di rumah tersebut, polis merampas dadah dipercayai heroin seberat 7.04kg dan ganja dianggar seberat 3.05kg bernilai RM64,570.

“Polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dadah selain menyita sebuah kenderaan, tujuh rantai, enam cincin, empat anting-anting serta satu subang hidung yang kesemuanya dianggar berjumlah RM72,332,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Yusri kedua-duanya yang negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Mohd Yusri berkata siasatan mendapati pasangan suami isteri itu mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini manakala dadah dirampas yang dipercayai untuk pasaran negeri ini dianggarkan boleh digunakan seramai 15,600 penagih dadah.

Sementara itu, beliau berkata dalam serbuan di Kampar, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, kira-kira 12.30 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan polis merampas dadah dipercayai serbuk ekstasi sebanyak 2.7kg, kafein (1.67 kg), Methampetamine (22 gram), heroin (21 gram), pil erimin 5 (5 gram) serta pil ekstasi (6 gram) dengan nilai keseluruhan dadah dirampas berjumlah RM38,792,” katanya.

Menurut Mohd Yusri polis turut merampas peralatan yang disyaki digunakan untuk membungkus dan menghisap dadah manakala lelaki itu didapati positif terhadap dadah jenis Methamphetamine serta memiliki 18 rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Katanya dadah dirampas dianggarkan boleh digunakan 6,700 penagih dan lelaki yang aktif semula dalam aktiviti pengedaran dadah sejak sebulan lepas itu kini disiasat lanjut mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

- Bernama

Popular posts from this blog

Video: Pemandu Grab Mengamuk. Suami Maki Isteri Dalam Grab

Video tular memaparkan seorang lelaki warga asing dipercayai memarahi isterinya ketika berada di dalam kenderaan e-hailing Grab sehingga mencetuskan ketegangan dengan pemandu Grab yang turut naik berang. Video rakaman CCTV memaparkan detik pertengkaran antara seorang lelaki warga asing dengan pemandu Grab dipercayai berlaku selepas lelaki tersebut memarahi isterinya di dalam kenderaan e-hailing berkenaan. Rakaman itu turut menunjukkan suasana tegang apabila pemandu Grab bertindak mempertahankan wanita terbabit sebelum berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak. Video berkenaan kini tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Antara komen orang awam yang tular di media sosial mengenai insiden tersebut ialah ramai yang meluahkan rasa marah terhadap tindakan lelaki berkenaan serta memuji pemandu Grab kerana campur tangan. Sebahagian netizen turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas, manakala ada yang bersimpati terhadap wanita dipercayai menjadi mangs...

1 Maut, 2 Cedera Dalam Insiden Tembakan Di Skudai

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan insiden tembakan yang berlaku malam tadi di kawasan Taman Industri Jaya, Skudai sehingga mengakibatkan seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia, kejadian berlaku sekitar jam 11 malam dan pihak polis menerima maklumat berkaitan insiden tembakan melibatkan mangsa lelaki tempatan berusia 27 tahun. Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah pusat hiburan di kawasan berkenaan. Seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat terkena tembakan, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan. Turut dipercayai terdapat seorang lagi individu cedera namun identitinya masih belum dikenal pasti selepas dibawa keluar dari lokasi oleh kenalannya. Polis kini sedang giat mengesan dua suspek yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta t...

VIDEO TULAR: WANITA LOMPAT KELUAR DARI KENDERAAN SEDANG BERGERAK

KLANG: Seorang wanita mengalami kecederaan selepas terjun dari sebuah kereta yang sedang bergerak kerana didakwa berasa tidak selesa dengan seorang pemandu p-hailing. Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao, dalam satu kenyataan pada Sabtu (2 Mei), berkata pemandu berusia 47 tahun itu telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut selepas insiden pada 1 Mei. “Insiden berlaku di tengah jalan berhampiran sebuah stesen minyak di Taman Eng Ann ketika pengadu sedang membawa dua penumpang. “Tiba-tiba, salah seorang penumpang wanita membuka pintu belakang sebelah kanan dan terjun keluar ketika kenderaan masih bergerak. Pengadu segera memberhentikan kenderaan dan mendapati wanita tersebut mengalami kecederaan ringan akibat kejadian itu,” katanya. Siasatan mendapati wanita itu dipercayai berasa cemas dan takut akan keselamatannya kerana pemandu didakwa melihatnya melalui cermin pandang belakang tanpa sebab yang munasabah. Wanita itu kemudian dihantar ke sebuah ...