Dua Rakan Maut Disambar Petir

SIK: Dua rakan maut selepas disambar petir di depan rumah, dalam kejadian ribut di Kampung Hujung Bechah, di sini, petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Zulkifli Kasim, 46, dan Idrus Ahmad, 35, sedang berehat di bangsal depan rumah mereka.

“Maklumat awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat disambar petir.

“Jenazah mereka sudah dihantar ke Hospital Sik untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jenazah kedua-dua mangsa sudah dihantar ke Hospital Sik.

Sementara itu, Haisul Aishah memaklumkan, kejadian ribut yang bermula kira-kira pada jam 4.20 petang itu juga membadai beberapa kampung sehingga menyebabkan kerosakan kepada puluhan rumah penduduk.

“Antara rumah penduduk yang terjejas ialah di Kampung Tanjung, Kampung Sena dan Beris Jaya dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih berada di tempat kejadian.

“Kita masih meninjau jumlah rumah yang terjejas dan akan membantu jika ada penduduk cedera,” katanya. - Berita Harian Online