Video: Suami Kejar Dan Rempuh Peragut Rantai Isterinya

KLANG: Seorang lelaki bertindak nekad mengejar dan merempuh motosikal peragut rantai emas isterinya dengan kereta di Bukit Tinggi, di sini.

Lelaki terbabit yang berusia 31 tahun sedang melintas jalan raya bersama isterinya berusia 29 tahun ke kereta mereka selepas keluar dari sebuah farmasi sekitar jam 11.10 pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika hendak memasuki kereta, dua lelaki yang masing-masing menunggang motosikal menghampiri mereka dan seorang suspek meragut rantai emas wanita berkenaan, yang bekerja sebagai guru.

“Suami wanita itu mengejar suspek terbabit dengan kereta dan melanggar bahagian belakang motosikalnya sehingga jatuh dan berjaya menangkapnya,” katanya.

Rakan suspek terbabit cuba membantu dengan berpatah balik dan memukul suami mangsa dengan kunci motosikal tetapi berjaya dielak. Rakan suspek kemudian melarikan diri apabila orang awam mula berkumpul.

Peragut terbabit yang berusia 25 tahun itu juga dibelasah oleh orang awam tetapi tidak cedera teruk sebelum diserahkan kepada polis.

Siasatan mendapati lelaki itu bekerja sebagai penjual telefon dan mempunyai dua rekod lampau membabitkan jenayah samun.

Polis menemui semula rantai leher emas yang diragut dari suspek.

“Polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang didaftarkan atas nama suspek tetapi menggunakan pendaftaran palsu ketika melakukan jenayah itu,” katanya.

Polis sedang mengesan rakan suspek terbabit dan meminta orang ramai yang ada maklumat menghubungi balai polis terdekat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. - Berita Harian Online