Powered by Blogger.

Sunday, March 8, 2020

Ibu Tunggal Dibunuh Dengan Tangan Terikat Di Taman Sutera Idaman

SUNGAI PETANI - Seorang ibu tunggal ditemui mati dipercayai dibunuh dalam keadaan mulut dan tangan terikat dekat Taman Sutera Idaman di sini, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Mangsa yang juga seorang pengasuh dikenali Haziah Yeap Osman, 58, ditemui tertiarap dalam bilik utama di rumah disewanya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati tiada sebarang kesan pecah rumah selain keadaan sekitar tempat kejadian juga tiada kesan selongkar.

"Kedua-dua tangan mangsa telah diikat dari belakang dengan menggunakan wayar pengecas warna putih di mana keadaan kedua-dua tangan yang diikat ialah menghala ke atas melepasi kepala.

"Bahagian mulut mangsa telah diikat dari bahagian belakang dengan kain tudung warna hijau dengan kuat," katanya hari ini.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian turut mendapati pasukan forensik polis masih melakukan siasatan di lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat jiran, mangsa kali terakhir dilihat pada Jumaat lalu ketika menyertai program bacaan Yasin di Surau An-Nur Ramadhan kira-kira 100 meter dari rumahnya.


Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.

Melalui sumber tersebut, kejadian disedari apabila bapa kepada anak asuhan mangsa cuba memanggil mangsa berulang kali ketika mahu menghantar anaknya pagi tadi, namun tidak berjawab.


Jiran berkata, mangsa kebiasaannya menunggu anak asuhan setiap pagi dengan pintu siap dibuka, namun apa yang berlaku pagi tadi tidak sebagaimana biasa menyebabkan mereka terpaksa meminta bantuan polis.

Seorang rakan lama, Salmiah Ton, 63, berkata, mangsa berasal dari Perak tinggal seorang diri dan dikatakan menyewa di kawasan terbabit sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, mangsa juga sering mengikutinya ke kelas senaman aerobik, namun tidak lagi aktif sejak setahun lalu setelah mengadu sakit pinggang.

"Saya kenal dia dah lama dan tau dia mengasuh bayi umur 5 bulan tetapi pagi ni terkejut apabila mengetahui kejadian dan terus ke sini," katanya.

Sementara itu, pasukan perubatan dari Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani yang hadir mengesahkan mangsa meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk dibedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 320 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian