Farah Tak Sanggup Berdiam Diri Lagi, Digangu Selepas Awrah Suami Tiada.

Isteri kepada pengarah filem, Allahyarham Mohd Firdaus Mohd Hanif, Farah Ahmad akan mengambil tindakan terhadap beberapa individu yang meninggalkan komen biadap dan keterlaluan di laman sosial.

Farah berkata, dia akan ke pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), esok untuk membuat laporan kerana tidak mahu isu itu berlarutan hingga mengancam keselamatan keluarganya.

Farah yang dihubungi BH Online, berkata dia tidak boleh berdiam diri lagi kerana bimbang keselamatan ibu mentua, Fauziah Nawi dan tiga anak perempuannya, berikutan komen keterlaluan yang diterima, termasuk daripada individu yang menggunakan nama Kambing Kacak di Facebook.

Farah berkata, individu terbabit meninggalkan pelbagai komen lucah dan menjengkelkan sejak berita suaminya lemas di Sungai Jelai, Lipis, Pahang tersebar pada 26 November lalu.

“Saya tidak tahu apa masalah individu itu dan beberapa lagi pengguna Facebook yang gemar meninggalkan komen tidak sepatutnya di laman sosial saya.

“Ketika itu, saya cuma buat tidak tahu memandangkan saya sedang kelam kabut dengan berita kehilangan suami. Bagi saya, komen seperti itu tidak sedikit pun mendatangkan kudis.

“Semakin saya diamkan, semakin menjadi-jadi pula komen yang ditinggalkan. Apabila ia membabitkan soal keselamatan ibu mentua dan anak, saya tiada pilihan, melainkan membawa hal ini ke tengah,” katanya yang turut membuat laporan polis kedua, semalam, seterusnya dinasihatkan ke pejabat SKMM kerana ia membabitkan kes buli siber.

Menurutnya lagi, dia belum pasti bentuk tindakan yang bakal diambil, sebaliknya akan terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada pihak berkaitan.

Katanya, dia sudah mengenal pasti beberapa pengguna laman sosial yang pernah menghina mereka sekeluarga dan terkejut apabila ia turut membabitkan individu yang masih di bangku sekolah.

“Saya sempat menangkap layar beberapa nama yang pernah menghina kami dan semua itu akan saya serahkan pada SKMM. Paling saya terkejut, ada pengguna yang masih bersekolah turut meninggalkan komen tidak elok.

“Jika mereka dapat dikesan, saya mahu berjumpa individu terbabit dan keluarga mereka untuk mengetahui apa masalah hingga tergamak meninggalkan komen seperti itu.

“Adakah mereka kekurangan kasih sayang atau salah didikan? Kalau boleh saya mahu mereka sekeluarga menjalani sesi kaunseling.

“Untuk pengguna yang lebih dewasa, saya belum tahu bentuk tindakan yang bakal saya ambil. Semuanya saya serahkan pada Allah. Cuma, saya hendak tahu apa sebab mereka buat semua itu,” katanya.

Allahyarham Pitt yang juga anak sulung Fauziah dilaporkan lemas selepas bot dinaiki bersama rakannya, Sham Mokhtar, terbalik ketika sedang memancing selepas penggambaran filem Coast Guard selesai.

Mayatnya ditemui Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selepas 30 jam operasi. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU2, Keramat. - Berita Harian Online
© 2017 Online News - Template Created by goomsite - Proudly powered by Blogger