Terpaksa Berlakon Semula Adengan Rogol Bersama Anak Patung Sambil Dilihat Polis Lelaki.

Mahkamah di Tokyo, Jepun, hari ini mengarahkan wartawan terkenal Noriyuki Yamaguchi untuk membayar 3.3 juta yen (RM125,000) sebagai ganti rugi kepada pemberita Shiori Ito dalam tuntutan sivil yang berkaitan dengan tuduhan yang dia telah merogolnya.

Ito, 30, memohon ganti rugi 11 juta yen atas penderitaannya selepas pendakwa enggan mendakwa Yamaguchi susulan aduannya kepada polis bahawa dia telah dirogol semasa tidak sedarkan diri.

Yamaguchi, yang berulang kali menafikan dakwaan itu, telah memfailkan saman balas dengan menuntut 130 juta yen daripada Ito. Mahkamah hari ini memutuskan untuk menolak samannya.

Kes sivil itu menjadi tajuk muka depan di Jepun dan luar negara oleh kerana jarang mangsa rogol melaporkan jenayah itu kepada polis.

Yamaguchi, bekas wartawan televisyen yang mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri Shinzo Abe, didakwa merogol Ito selepas menjemputnya makan malam bagi membincangkan peluang pekerjaan pada 2015.

Sambil air mata yang berlinangan, Ito yang bercakap kepada wartawan dan penyokongnya selepas keputusan itu diumumkan, di luar mahkamah, berkata dia "rasa bersyukur."

"Saya sangat gembira," katanya, dengan suara yang tersekat-sekat kerana penuh dengan emosi.

Ito dalam buku tulisannya mengenai kejadian itu, "Black Box," bahawa dia terpaksa melakonkan semula adengan rogol berkenaan dengan anak patung bersaiz manusia sambil diperhatikan oleh polis lelaki. Dia tidak mengenal pasti anggota polis.

Reuters tidak dapat mengesahkan insiden itu atau seluruh akaun yang diberikannya dalam buku berkenaan.

Jurucakap polis Metropolitan Tokyo berkata jabatan itu tidak dapat memberi komen segera.

Ito juga berkata bahawa pengkritik media sosial turut “menganjingnya”.

Kejadian itu kemudiannya dijadikan sebuah dokumentari BBC yang bertajuk “Japan’s Secret Shame”.

Ito dalam bukunya mendakwa bahawa polis telah memperoleh waran tangkap terhadap Yamaguchi tetapi tidak melaksanakannya.

Katanya, tangkapan dibatalkan pada saat terakhir susulan campur tangan seorang pegawai kanan polis, yang tidak dinamakannya.- Malaysiakini