5 Sekeluarga Maut Rempuh Lori Dikebumi Satu Liang Lahad



ALOR SETAR - Lima sekeluarga termasuk sepasang suami isteri bersama anak mereka yang maut dalam kemalangan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan di Kuala Kubu Bharu awal pagi tadi dikebumikan dalam satu liang lahad malam ini.

Salah seorang ahli keluarga mangsa, Zainuddin Ahmad, 57, berkata, kesemua jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan kira-kira jam 9.30 malam.

Liang lahad yang siap digali menggunakan jentolak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat Yan hari ini.

Katanya, dia sedih selepas mengetahui kemalangan terbabit mengorbankan kelima-lima ahli keluarganya itu.

"Saya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada adik mangsa, Jamaludin Jalim pada jam 8.30 pagi. Apa pun saya reda dengan takdir ini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia bersama beberapa penduduk kemudian melakukan kerja menggali lubang kubur menggunakan jentolak bermula jam 10 pagi tadi.

"Kami mengambil masa lebih satu jam untuk menyempurnakan kerja-kerja menggali kubur berkenaan," katanya.

Lima sekeluarga maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori tiga tan dalam kejadian di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan pagi tadi.

Mangsa yang maut adalah pemandu kereta, Mohamad Rodzi Abdul Kadir,52; penumpang di sebelah pemandu, Jamilah Jalim @Jamil, 47, dan penumpang di bahagian belakang,Bashirah Jalim@Jamil, 49; Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, kemalangan berlaku apabila lori dalam perjalanan dari Selama, Perak ke Selayang dilanggar dari belakang oleh Perodua Myvi di lorong kiri lebuh raya.

"Akibat kemalangan itu kesemua penumpang kereta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Lori berkenaan mengalami kerosakan di bahagian belakang manakala Perodua Myvi mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

"Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya

Anggota bomba terpaksa melakukan kerja-kerja pemotongan kenderaan bagi mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di di bahagian tempat duduk hadapan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikerahkan ke lokasi selepas panggilan kecemasan diterima.

Menurutnya, dua mangsa tersepit di bahagian depan kereta berjaya dikeluarkan dengan kerja-kerja pemotongan kenderaan dilakukan oleh anggota bomba.

"Penumpang di bahagian belakang tidak tersepit namun disahkan meninggal dunia di lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. - Sinar Harian