Tak Nak Sunat, Nak Balik Rumah,” Walaupun Sudah Dibius


MELAKA: “Tak nak sunat, nak balik rumah,” kata seorang kanak-kanak yang menyertai Program Jom Berkhatan 2019 di Masjid Al Faizin, Bukit Rambai, di sini hari ini sebelum dia lari meninggalkan program.

Gelagat Ahmad Haikal Izzuanda Abu Nepah, 11, itu antara yang dapat dilihat pada program disertai 100 kanak-kanak anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Rambai, MPKK Paya Mengkuang, Masjid Al Faizin dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bukit Rambai.

Aksi itu selepas dia dibius apabila secara tiba-tiba meronta dan berlari ke perkarangan masjid walaupun sudah dibius oleh pegawai perubatan bertugas.

Ibunya, Zalimawati Md Kasim, 42, mengambil masa lebih 30 minit untuk memujuk anak sulungnya itu yang meronta-ronta mahu pulang.

Ketika ditemui pemberita, Zalimawati mengakui terkejut dengan tindakan anaknya yang sejak dua minggu lalu, tidak sabar-sabar untuk berkhatan.

“Pagi tadi pun, dia sudah bersedia, tapi bila dibius kira-kira jam 10 pagi, dia terkejut ketakutan dan melarikan diri apabila melihat ramai kanak-kanak menangis dan menjerit.

“Alhamdulillah, selepas dipujuk, anak sulung saya sedia dikhatankan dan mahu menjadi peserta terakhir disunat,” katanya.

Program berkenaan dirasmikan Ahli Parlimen Tangga Batu, Dr Rusnah Aluai dan turut dihadiri Pengerusi MPKK Bukit Rambai, Mohd Nasir Mamat.

Rusnah berkata, seramai 100 kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun menyertai program sempena musim cuti sekolah kali ini.

“Saya difahamkan, peserta hanya menyumbang sebahagian daripada kos iaitu hanya RM40, manakala kanak-kanak asnaf dikhatan secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nasir memaklumkan, ia program julung kali dianjurkan di Bukit Rambai dan berharap dapat diadakan setiap tahun melalui bantuan pelbagai agensi kerajaan.

Seorang lagi kanak-kanak yang menyertai program itu, Alif Hakimi Nurade, 8, mengakui agak takut dan cemas sebelum dibawa masuk ke bilik berkhatan, tetapi perasaan itu mula hilang apabila melihat rakan-rakan lain di sekeliling. - Berita Harian Online