3 Gambar: Remaja 14 Tahun Jadi Mangsa Buli Rakan Kelas


KOTA BHARU - Seorang remaja berusia 14 tahun dipercayai menjadi mangsa buli rakan sekelas apabila kerap kali disuruh menyiapkan kerja sekolah di sebuah sekolah agama di Pasir Puteh.

Kejadian terbaru membabitkan mangsa pelajar lelaki itu berlaku pada jam 10.30 pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa dikatakan enggan menuruti arahan kumpulan pembuli supaya menyiapkan kerja sekolah rakan sekelasnya menyebabkan dia dipukul beberapa kali dengan kaki dan tangan.

“Mangsa dipukul oleh kumpulan rakan sekelas yang menyuruhnya menyiapkan kerja sekolah pada musim cuti persekolahan yang akan bermula esok.

“Mangsa yang enggan berbuat demikian menyebabkan kumpulan rakannya itu bertindak memukulnya dengan tangan dan kaki bagaimanapun mangsa bertindak membalas semula pukulan itu,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keterangan remaja tersebut, kejadian buli oleh rakan sekelas supaya menyiapkan kerja sekolah mereka itu sudah lama berlaku namun kali ini dia sudah tidak dapat bertahan menyebabkan dia membalas pukulan itu.

“Yelah, sudah masuk musim cuti sekolah, suruh buat kerja sekolah apa lagi. Pihak polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pelajar yang terlibat.

Mangsa (atas) membalas kembali pukulan dilakukan rakan sekelasnya itu.

“Sejumlah 10 pelajar berusia 13 dan 14 tahun sudah pun dipanggil untuk diambil keterangan dan siasatan masih lagi diteruskan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Tambahnya, kanak-kanak terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan kes lengkap.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 30 saat memaparkan pergaduhan pelajar sekolah itu tular di media sosial.

Berdasarkan pertuturan mereka berbunyi loghat Kelantan.

Terdapat dua pelajar dilihat memukul seorang pelajar yang duduk di lantai sebelum mangsa membalas balik pukulan salah seorang daripada pelajar itu.

Mangsa turut disepak pada muka sebelum membalas semula pukulan itu. - Sinar Harian