Kami Dipaksa Oleh Lelaki Bangla


KUALA LUMPUR - Polis menyelamatkan 13 wanita warga asing dipercayai mangsa sindiket pelacuran dalam serbuan di tiga buah premis di kawasan Jalan Imbi, di sini semalam.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, kesemua mereka terdiri daripada tujuh warga Bangladesh dan masing-masing tiga dari Indonesia dan India.

“Hasil risikan mendapati sindiket pelacuran itu dipercayai diketuai oleh seorang lelaki warga Bangladesh serta beberapa penjaga premis yang dikesan menjalankan aktiviti pelacuran membabitkan warga Bangladesh,” katanya melalui kenyataan media tadi.

Fadil berkata, wanita warga asing itu dipercayai dihantar oleh ejen menggunakan kenderaan persendirian ke lokasi berkenaan.

“Sebahagian wanita Bangladesh itu ditempatkan di sebuah pangsapuri di Jalan Maluri, Kuala Lumpur. Sasaran pelanggan pula adalah dalam kalangan warga Bangladesh, Pakistan dan Nepal dengan caj bayaran RM50 (sekali seks dalam masa 10 minit),” katanya.

Menurutnya, polis mengesan wujud eksploitasi seks terhadap mangsa yang dijadikan sebagai pekerja seks secara paksaan, kawalan, ugutan dan ikatan hutang perjalanan ketika datang ke Malaysia.

“Kita turut menahan enam lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh bagi membantu siasatan berhubung kes itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Sinar Harian