Powered by Blogger.

Saturday, October 19, 2019

Guru Stapler Telinga Murid Tadika.


Kuching - Seorang guru tadika ditahan selepas didakwa mencederakan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dengan menggunakan stapler.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Ghani, berkata wanita berusia 26 tahun itu yang merupakan guru di sebuah Tadika di Jalan Chawan telah ditahan pada jam 11.45 pagi semalam.

Wanita tersebut telah ditahan selepas pihak polis menerima laporan polis dari ibu mangsa pada jam 9.44 pagi pada hari yang sama, walau bagaimanapun wanita tersebut telah dilepskan dengan jaminan polis selepas segala keterangannya diambil.

“Kecederaan di telinga kiri mangsa disedari oleh ibu mangsa ketika mengambil anaknya itu dari Tadika berkenaan pada jam 11.30 pagi, Khamis lalu.

“Mangsa apabila ditanya memberitahu ibu mangsa bahawa kecederaan itu dilakukan oleh seorang guru,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Awang Din, kes ini masih dalam siasatan lanjut dan jika di sabit kesalahan wanita tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

"Siasatan tersebut dilakukan termasuklah bagi mengenal pasti adakah benar guru wanita itu yang mencederakan mangsa dan adakah luka di telinga kiri mangsa adalah akibat disepit dengan stapler," katanya lagi.