Disimbah Air Panas Ketika Sedang Tidur, Pelajar Tahfiz Masih Di ICU


Kuala Lumpur - Seorang pelajar Tahfiz mengalami kecederaan akibat disimbah air panas ketika mangsa sedang tidur dipercayai berpunca daripada pertengkaran dan ejek-mengejek.

Mangsa merupakan seorang pelajar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah berusia 13 tahun manakala pelaku pula pelajar berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, ketika kejadian yang berlaku pada awal pagi kelmarin pelajar berusia 12 tahun itu bertindak menjirus air panas kepada mangsa yang sedang tidur kerana berasa tidak berpuas hati dalam perkelahian itu.

"Mangsa yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur dan dilaporkan mengalami kecederaan kira-kira 13 peratus di bahagian badan akibat daripada kejadian tersebut, " katanya.

Rajab Ahad memberitahu bahawa pihak tahfiz sudah pun memaklumkan kepada keluarga mangsa mengenai kejadian yang menimpanya kira-kira jam 4 pagi sebelum mangsa dikejarkan ke hospital.

"Bapa mangsa telah membuat laporan polis pada hari kejadian dan susulan itu polis telah menahan pelajar terbabit dengan ditemani bapanya untuk direkod keterangan. Walaubagaimanapun pelajar itu dilepaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan pihak timbalan pendakwa raya," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod ketika dihubungi menjelaskan, insiden itu bukanlah kes buli seperti yang didakwa sebaliknya hanyalah perselisihan faham dan saling ejek-mengejek antara mangsa dengan pelaku.