Powered by Blogger.

Monday, September 9, 2019

Van Putih Mengganas, Cubaan Culik Depan Sekolah Di Bukit Kapar


KLANG - Polis mengambil keterangan daripada empat saksi berhubung kes cubaan culik di hadapan sebuah sekolah agama di Bukit Kapar di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

"Keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis berhubung kejadian kira-kira jam 6 petang semalam.

"Orang ramai yang melihat kejadian diharap segera tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah.

"Siasatan awal yang dijalankan mendapati tiada pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian disebabkan hari cuti," katanya.

Terdahulu, seorang murid perempuan mendakwa hampir menjadi mangsa penculikan di hadapan sebuah sekolah kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Satu nota tulisan tangan berhubung kejadian itu turut tular di Facebook.

Dalam kejadian tersebut, lapan individu menaiki dua van putih disyaki melakukan kegiatan itu semasa murid terbabit sedang menunggu penjaga di luar kawasan sekolah.

Difahamkan ketika kejadian, murid itu baharu saja menghadiri kelas tambahan dan terdapat seorang lelaki membantu murid berkenaan daripada diculik ketika itu. - Sinar Harian