PEKAN: Kanak-kanak perempuan yang dijumpai mati dengan tangan terikat dan hampir reput di sini dipercayai dipukul menggunakan senjata kayu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan dalam satu kenyataan berkata ia berdasarkan siasatan awal terhadap kecederaan pada kepala mangsa.
Mayat dipercayai Siti Masitah Ibrahim, 11, dijumpai tertiarap dengan tangan diikat ke belakang serta dalam keadaan hampir reput.
“Terdapat tiga kesan kecederaan pada rahang kiri, bahagian atas tengkorak sebelah kiri dan belakang kepala,” katanya.
Tambah Othman, motif pembunuhan dipercayai angkara dendam terhadap keluarga mangsa.
“Selepas kehilangan mangsa dilaporkan pada 30 Januari 2019, polis menahan seorang lelaki pada 31 Januari 2019 di simpang masuk ke Kampung Tanjung Medang Hilir, Pekan, Pahang.
“Hasil pengakuan awal suspek, polis merampas senjata kayu yang dipercayai digunakan bagi memukul mangsa,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Tangkapan dibuat berdasarkan maklumat awam di mana lelaki tersebut adalah orang terakhir dilihat bersama mangsa.
“Suspek merupakan kenalan kepada keluarga mangsa dan tinggal sekampung. Hasil soal siasat, pada awalnya suspek tidak membuat pengakuan berkenaan kehilangan mangsa.
“Walau bagaimanapun, hasil soal siasat lanjut, suspek akhirnya mendedahkan penglibatan dirinya berkait kehilangan mangsa.
Polis bagaimanapun masih menunggu laporan penuh DNA sebelum mengesahkan mayat mangsa adalah Siti Masitah.
Setakat ini pengecaman adalah berdasarkan warna baju mangsa oleh ibunya.
Berdasarkan siasatan awal, polis percaya mangsa meninggal dunia di antara tujuh hingga 14 hari lalu.
Polis dalam pada itu menafikan berita kononnya organ dalaman mangsa hilang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Astro AWANI