Menjalinkan Hubungan Sulit Dengan Isteri Orang, Lelaki Maut Dipukul


BATU PAHAT - Sepasang suami isteri antara 10 individu yang ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam satu kes pukul sampai mati seorang pemuda, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, pasangan berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan pada hari berasingan selepas polis menerima laporan oleh Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), di sini,

“Pada Selasa lalu jam 10.45 malam, pihak polis menerima laporan daripada Jabatan Kecemasan HSNI Batu Pahat mengenai keadaan seorang pemuda berusia 26 tahun yang mengalami kecederaan parah sehingga tidak sedarkan.

“Mangsa didakwa dibawa ke unit kecemasan itu oleh seorang lelaki tanpa meninggalkan sebarang maklumat dirinya kepada kakitangan di situ. Keesokannya (Rabu) mangsa disahkan meninggal dunia pada pada jam 5.15 petang di wad kecemasan,” katanya di sini.

Menurutnya, sehubungan itu, usaha menjejaki suspek dijalankan termasuk mengenal pasti kenderaan jenis Proton Waja yang didakwa digunakan untuk menghantar mangsa ke hospital.

“Hasil risikan dan siasatan mendapati mangsa sebelum itu dilarikan dan dipukul sekumpulan lelaki hingga mengalami kecederaan parah. Punca kejadian dikatakan berlaku kerana suspek tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwa menjalinkan hubungan sulit dengan isterinya.

“Usaha mengesan suspek memperoleh perkembangan positif dengan penemuan kereta yang didakwa digunakan lelaki berkenaan untuk menghantar mangsa ke hospital malam itu. Kenderaan berkenaan bagaimanapun ditemukan di satu lokasi di daerah ini,” katanya.

Azhan berkata, Khamis lalu, polis membuat tangkapan pertama membabitkan suspek utama wanita berusia 38 tahun yang didakwa menjalinkan hubungan dengan mangsa. Turut ditahan, seorang lagi wanita berusia 36 tahun.

“Polis kemudiannya berjaya mendapatkan tempoh tahanan reman terhadap kedua-dua suspek selama tujuh hari bermula Khamis sehingga Rabu ini. Dalam pada itu, hasil soal siasat dijalankan mendedahkan penglibatan sekumpulan lelaki didakwa melarikan mangsa dari sebuah pusat hiburan di Batu Pahat.

“Mangsa didakwa dibawa ke satu lokasi di Senggarang sebelum kumpulan berkenaan bertindak memukulnya. Daripada maklumat terbabit, polis berjaya menghasilkan tangkapan susulan ke atas tujuh lelaki dan seorang wanita menjadikan keseluruhan tangkapan adalah 10 individu termasuk tiga wanita,” katanya.

Menurutnya, lapan suspek berumur antara 24 hingga 38 tahun termasuk suami yang juga suspek utama berusia 36 tahun itu berjaya ditahan semalam di Tangkak dan Batu Pahat sebelum direman tujuh hari bermula hari ini oleh Mahkamah Majistret Kluang. - Sinar Harian