Powered by Blogger.

Saturday, September 1, 2018

Ajal Dibelasah Warga Bangla Kerana Menyamun


TINDAKAN lelaki yang dipercayai cuba menyamun sekumpulan warga Bangladesh di rumah kedai di Jalan Gelugor, Bandar Baru Klang, berakhir tragedi apabila dia maut dibelasah, semalam.

Difahamkan, dalam kejadian antara 6.45 pagi hingga 7 pagi itu, mangsa yang juga warga tempatan berusia 35 tahun mengumpil pintu jeriji besi di tingkat bawah premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mazelan Paijan berkata, perbuatan itu didakwa dilihat seorang lelaki warga Nepal yang bekerja di hotel berdekatan.

"Tidak lama kemudian, pekerja hotel itu terdengar bunyi pergaduhan selain jeritan 'ada orang datang samun' dalam bahasa Bangladesh.

"Tindakan mangsa yang dikatakan mahu menyamun itu gagal apabila sekumpulan warga Bangladesh berkenaan menyerang balas sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian," katanya kepada NSTP di Klang, hari ini.

Menurut beliau, pihaknya menemui pisau, playar boleh laras dan kayu panjang di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan ke atas beg galas milik mangsa menjumpai kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, telefon bimbit, kunci kereta dan alat menghisap dadah.

"Selain itu, kereta jenis Proton Saga warna emas milik mangsa ditemui di lorong belakang hotel berkenaan," katanya.

Kata Mazelan, bertindak atas maklumat dan siasatan, polis berjaya menahan seorang lelaki Bangladesh yang dipercayai cuba melarikan diri ke negaranya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 4.45 petang semalam.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita sedang mengesan beberapa penyewa lain yang menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, semakan pihaknya mendapati mangsa memiliki lima rekod jenayah lampau termasuk kes samun dan dadah.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menyalurkannya di balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut. - Harian Metro