Tidak Salah Untuk Saya Pertahan Diri - Najib


KUALA LUMPUR: "Saya hanya mempertahankan diri dan polisi yang dibawa ketika pentadbiran saya."

Ini jawapan yang diberikan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diminta untuk memberi komen terhadap kenyataan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa UMNO perlu menjarakkan diri dari beliau.

"Saya tidak mempunyai masalah untuk menyokong Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebagai Presiden UMNO.

"Namun, saya juga mempunyai hak untuk mempertahankan polisi serta menjelaskan kekeliruan dan penipuan fakta oleh Kerajaan baharu.

"Saya merasakan bahawa perlindungan sendiri (self-defence) adalah adil untuk saya menerangkan sebab mengapa kami merangka sesetengah daripada polisi dan sebab kami melakukan perkara tersebut," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Semalam, Nazri yang merupakan Ahli Parlimen Rengas itu menyarankan bekas Presiden itu supaya 'faham-faham sendiri' bila masa beliau perlu jarakkan diri daripada UMNO.