Powered by Blogger.

Thursday, July 12, 2018

Suri Rumah Ditipu Lelaki Mengaku Polis Untuk Bebas Suami


Seorang suri rumah kerugian RM6,500 setelah berurusan dengan individu yang mendakwa sebagai ‘pegawai polis’ yang kononnya boleh membantu pembebasan suaminya yang dalam tahanan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 37 tahun yang berasal dari Taman Sentosa, Jerantut , mendakwa dirinya dimaklumkan tentang penahanan suaminya pada petang 4 Julai lepas.

Mangsa difahamkan mempercayai panggilan telefon yang kononnya dibuat seorang pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kerana suaminya yang berusia 40 tahun telah empat kali ditangkap kerana kesalahan berkaitan dadah.

"Suspek mendakwa boleh membantu melepaskan suami mangsa jika dia membayar RM5,000 namun selepas tawar-menawar, jumlah yang dipersetujui adalah sebanyak RM4,000.

Mangsa telah membuat bayaran pada pukul 4.30 petang hari yang sama dan tidak lama kemudian menerima semula panggilan daripada suspek mendakwa wang tersebut tidak mencukupi," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Mohd Wazir menambah suspek telah menyuruh mangsa menambah wang sebanyak RM2,500 yang dituruti mangsa.

Katanya, mangsa diberitahu bahawa suaminya akan dibebaskan pada 9 Julai lepas, kerana keadaan 'pegawai polis' tersebut yang sibuk menyebabkannya tidak dapat membantu melakukan perkara itu secara segera.

"Pada tarikh yang dijanjikan, mangsa datang ke IPD Jerantut untuk menjemput suaminya, namun dimaklumkan bahawa tiada sebarang pembayaran dibenarkan atau berlaku untuk urusan pembebasan itu," katanya.

Mohd Wazir menambah mangsa yang merasakan dirinya ditipu membuat laporan polis di balai yang sama pada hari tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama