Semua Kena Tipu, Persembahan Ulek Mayang Kena Rasuk Hanya Gimik


Kuala Terengganu - Tular di media sosial menunjukkan dua individu yang dirasuk ketika menonton persembahan Ulek Mayang bersempena mempromosikan Visit Beautiful Terengganu (VBT).

Menurut Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, video yang tular menunjukkan dua individu dirasuk tersebut hanyalah gimik bagi menarik perhatian pengunjung di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah video tersebut merupakan video yang telah dirakamkan pada Oktober tahun lalu di KLIA, Sepang, Selangor.

Gimik tersebut telah dilakukan dengan tujuan bagi menarik perhatian orang ramai di KLIA untuk menonton persembahan sekaligus memperkenalkan kebudayaan negeri ini kepada pengunjung terutamanya pelancong asing.

Gimik tersebut merupakan sesuatu yang dilakukan oleh penari dari Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUKTRA) di sepanjang promosi bagi tujuan mempromosikan Ulek Mayang.

Malah individu yang dikatakan telah dirasuk itu juga sebenarnya merupakan kakitangan SUKTRA itu sendiri dan orang ramai yang berada di sana serta yang menyaksikan sendiri kejadian itu pun tahu apa sebenarnya yang terjadi ketika itu.

Menurut laporan NSTP, Tun Ahmad Faisal juga terkejut apabila video tersebut telah menjadi viral dalam  minggu ini dengan pelbagai komen daripada netizen yang tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.

Akan tetapi dengan penularan video berkenaan sedikit sebanyak secara langsung telah memberikan promosi kepada Terengganu walaupun sebenarnya pihaknya telah sedia maklum mengenai gimik yang telah dicetuskan oleh penari berkenaan.

Video tersebut yang berdurasi selama 1 minit 59 saat telah dimuat naik di laman sosial Twitter sejak dua hari yang lalu sebelum ianya menjadi tular serta telah menjadi bahan bualan pengguna laman sosial lain termasuklah facebook.

Melalui klip video tersebut kelihatan aksi penari SUKTRA yang sedang mempersembahkan tarian Ulek Mayang sebelum seorang lelaki secara tiba-tiba telah melompat naik ke pentas persembahan sebelum menyerang penari yang sedang menari.

Tidak berapa lama kemudian muncul pula seorang 'pengunjung' wanita yang menyaksikan persembahan tersebut yang menjerit kononnya dia telah disampuk sebelum wanita tersebut telah dibantu oleh beberapa individu berhampiran.

Disebabkan gimik tersebut menyebabkan rata-rata netizen memanggil tarian Ulek Mayang tersebut sebagai 'berhantu'.-Berita Harian Online