Biar Najib Nak Cakap Apa Pun Yang Dia Mahu - Fuzi Harun


Ketua Polis Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak boleh bercakap apa saja yang beliau mahu.

Mohamad Fuzi mengulas dakwaan Najib bahawa Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Datuk Seri Amar Singh tidak mengikut prosedur piawai (SOP) dalam serbuan di kediamannya.

Najib sebelum ini dilaporkan menyaman tiga individu yang menurutnya prejudis terhadapnya dalam siasatan 1MDB.

Tiga individu itu ialah Peguam Negara Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Amar Singh.

Sebelum ini Najib telah memfailkan saman terhadap tiga penyiasat utama skandal 1MDB.
Bekas Perdana Menteri itu memfailkan saman terhadap tiga penyiasat utama skandal 1MDB, dalam usahanya menangani kritikan awam berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes itu.

Hilang kuasa pada PRU Mei lalu, Najib ditahan dan didakwa berkaitan transaksi meragukan bekas subsidiari 1MDB, SRC International. Beliau yang konsisten menafikan sebarang salah laku mengaku tidak bersalah Rabu lalu.

Dalam 'serangan balasnya', Najib memfailkan saman terhadap tiga pegawai yang terlibat dalam siasatan 1MDB.

Dalam tiga pemfailan sivil minggu lalu namun hanya dilihat Reuters pada Rabu, peguam Najib mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas bersikap prejudis terhadap Najib ketika siasatan mereka.

Badrul Abdullah yang mengetuai salah satu firma guaman yang mewakili Najib berkata, saman dibuat berdasarkan kenyataan sebelum ini yang dibuat tiga individu itu.

Dalam perkembangan sama Fuzi Harun berkata pihaknya telah menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa Macau untuk bertindak ke atas ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low yang diburu berkaitan skandal 1MDB.

Menurutnya, polis telah menghantar surat permohonan rasmi kepada pihak berkuasa Macau namun masih menunggu maklum balas mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Koperasi PDRM Berhad di Kuala Lumpur hari ini. - Malaysiakini