Powered by Blogger.

Monday, June 4, 2018

Esok Adalah Hari Paling Kritikal, Terdapat Beberapa Peristiwa Penting - Siti Hasmah


Selepas sesi wawancara eksklusif bersama Malaysiakini di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, pagi ini, Tun Dr Siti Hasmah Ali menandatangani autograf.

Dengan pena di tangannya, beliau meminta wartawan menyatakan tarikh hari ini. Dan apabila diberitahu bahawa ia adalah 4 Jun, beliau menjawab: "Ahh .. Esok akan menjadi hari yang sangat genting (crucial)."

Beliau kemudian menceritakan, tidak seperti tempoh suaminya Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri lalu, kali ini, "setiap hari adalah tempoh kritikal."

Walaupun mengulangi bahawa esok akan menjadi "hari kritikal" berulang kali, namun Siti Hasmah tidak mengulas lanjut.

Terdapat beberapa peristiwa penting yang dijadualkan esok seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Antaranya, SPRM dijadual merakamkan kenyataan daripada isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak - Datin Seri Rosmah Mansor.

Minggu lalu, SPRM mengeluarkan notis mengarahkan Rosmah untuk hadir di ibu pejabatnya di Putrajaya pada pukul 11 pagi esok.

Beliau dijadual disoal-siasat berhubung isu skandal SRC International Sdn Bhd. Ini kali pertama Rosmah akan disoal-siasat oleh SPRM.

Pada tahun 2015, SPRM yang mengendalikan kes berkaitan dengan SRC International berhubung dana yang disalurkan ke akaun bank peribadi Najib pernah memanggil perdana menteri ketika itu bagi membantu siasatan.

Pada masa itu, laman web pendedah maklumat Sarawak Report mendakwa terdapat beberapa kad kredit yang digunakan dikaitkan dengan akaun peribadi tersebut.

Siasatan kemudiannya berakhir dengan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali membersihkan Najib daripada segala pertuduhan.

Ia kemudian dibuka semula baru-baru ini selepas pilihan raya 9 Mei lalu menyaksikan kerajaan BN yang diterajui oleh Najib tumbang. SPRM memanggil Najib untuk disoal lanjut pada 22 dan 24 Mei tahun ini.

Semasa wawancara hari ini, Siti Hasmah enggan mengulas mengenai lawatan Rosmah ke SPRM, esok.

Selain siasatan SPRM ke atas Rosmah, Majlis Raja-Raja Melayu akan bersidang esok bagi membincangkan pelantikan peguam negara.

Adalah dilaporkan terdapat bantahan daripada istana berhubung cadangan supaya peguam veteran Tommy Thomas menggantikan Apandi yang kini digantung tugasnya.

Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada 11 pagi esok bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM akan mengambil dan merakam keterangan isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara berkenaan.

“Ya, notis telah diberikan kepada Rosmah dan beliau perlu hadir pada esok bagi melengkapkan siasatan berhubung kes ini (SRC International),” katanya kepada Bernama.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menyerahkan notis memerintah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, hadir ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berkaitan SRC International.

Menurut sumber, mengikut notis berkenaan, Rosmah perlu hadir pada Selasa minggu depan 11 pagi bagi memberi keterangan.

Katanya surat berkenaan diserahkan oleh pegawai SPRM yang mengunjungi kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di Jalan langgak Duta.

Beberapa pegawai SPRM kelihatan meninggalkan kediaman itu dengan membawa sebuah beg yang dipercayai mengandungi dokumen yang diambil dari bekas kediaman Perdana Menteri itu. - Malaysiakini