Salah Laku 1MDB Berlaku Sebelum Saya Sertai Syarikat - Arul Kanda


Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda, berkata salah laku dalam syarikat sudah berlaku sebelum beliau sertai syarikat itu pada Januari 2015.

Dalam kenyataan peribadinya hari ini, Arul Kanda berkata tujuan beliau menyertai syarikat itu juga adalah hanya untuk melakukan pelan rasionalisasi atas segala masalah yang sudah berlaku.

"Beberapa isu yang berlegar berkaitan 1MDB termasuk siapa yang bertanggungjawab dalam pelaburan awal serta pengurusan syarikat sudah dinyatakan pada 2015.

Maklumat itu kemudian dikemaskini tidak hanya kepada pihak berkuasa dan penyiasat, malah kepada ahli lembaga pengarah dan pemegang kepentingan.

"Fokus saya hanya untuk melaksanakan pelan rasionalisasi syarikat," katanya.

Arul Kanda juga mendakwa sewaktu pertemuan beliau bersama Menteri Kewangan pada Rabu, beliau tidak mempunyai sebarang dokumen syarikat bersama beliau.

"Saya hanya menerangkan setakat mana yang saya ingat ketika itu. Pada pandangan saya, adalah tidak adil untuk menteri (Lim Guang Eng) mengeluarkan kenyataan yang tidak menggambarkan suasana sebenar sesi tersebut," katanya.

Arul Kanda berkata beliau menolak sekeras-kerasnya kenyataan yang berbaur fitnah dan serangan peribadi oleh Guan Eng.

"Saya sudah mendapatkan khidmat nasihat perundangan," katanya sambil menambah beliau akan terus komited untuk bekerjasama sepenuhnya dalam siasatan 1MDB.

Semalam Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata seorang daripada pengarah syarikat 1MDB mengaku bahawa pelaburan “unit dana” AS$2.5 bilion (RM9.8 bilion) adalah penipuan semata-mata.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat syarikat pengarah 1MDB Norazman Ayob dan Kamal Mohd Ali, presiden dan ketua pegawai eksekutif (CEO) Arul Kanda Kandasamy, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) Azmi Tahir dan bekas peguam syarikat Ivan Chen. - Astro AWANI