Najib Berbuka Puasa Dengan Ibu Ketika Hadapi Ujian


Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berbuka puasa dengan ibunya Tun Rahah Mohammad Noah di kediamannya di Jalan Eaton, Kuala Lumpur.

Tun Rahah merupakan balu kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Sumber yang dekat dengan Najib berkongsi gambar tersebut dengan Malaysiakini dan mengatakan Tun Rahah sedih apabila mendapat tahu serbuan dilakukan di kediaman anaknya itu lewat malam semalam.

"Beliau bimbang dengan keluarganya, terutamanya cucu-cucu, dan cicit yang baru dilahirkan.

"Beliau sedih dengan masalah yang melanda dan cara Najib dilayani," kata sumber itu, sambil menambah Najib memberi jaminan kepada ibunya bahawa beliau telah melakukan yang terbaik untuk negara ini.

Tun Rahah juga meminta Najib tabah dengan ujian Allah, kata sumber itu lagi.

Pelbagai pihak, termasuk pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan tindakan polis melakukan serbuan dan menggeledah kediaman Najib pada waktu yang dianggap tidak sesuai. - Malaysiakini