Lepas Polis Kini SPRM Pula Masuk Rumah Najib.


Lapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dikatakan memasuki kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta di sini sebentar tadi.

Difahamkan pegawai terbabit menaiki dua buah kenderaan,  Datuk Seri Najib Tun Razak diminta hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selasa depan bagi membantu siasatan berhubung skandal SRC International.

Menurut sumber, sepasukan pegawai SPRM telah menghantar satu notis memerintah kehadiran beliau (Najib) hadir ke pejabat SPRM minggu depan.

“Setakat ini, beliau diminta hadir Selasa depan untuk kita merakamkan keterangan berhubung siasatan SRC International,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Notis memerintahkan hadir dikeluarkan mengikut Seksyen 30 Akta Pencegahan Rasuah 2009 dihantar sepasukan lapan pegawai SPRM hari hari ini.

Pegawai berkenaan dilihat memasuki kediaman Najib di Jalan Langgak Duta di sini dengan menaiki dua buah Proton Preve.

Januari lalu, Pejabat Peguam Negara mengembalikan dua kertas siasatan berkaitan kes SRC International dan satu kertas siasatan membabitkan dana RM2.6 bilion kepada SPRM.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Katanya, berdasarkan kepada keseluruhan fakta dan keterangan, beliau sebagai pendakwa raya berpuas hati bahawa tiada apa-apa kesalahan jenayah yang dilakukan Najib berkait ketiga-tiga kertas siasatan.

"Pihaknya mengembalikan kertas siasatan itu untuk mendapatkan penjelasan daripada SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan suruhanjaya berkenaan," katanya.

Mohamed Apandi berkata, kertas siasatan itu dikembalikan selepas ia diteliti dan dikaji dan mengarahkan kertas siasatan terbabit dikembalikan semula dalam masa terdekat.

SPRM mengemukakan kertas siasatan kepada Peguam Negara pada 31 Disember tahun lalu selepas mengambil keterangan lebih 100 saksi.

Suruhanjaya itu juga sudah membentangkan syor dan penemuan siasatan kepada satu panel bebas khas, membabitkan lima ahli mewakili badan bebas, yang memantau perjalanan SPRM kecuali Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah.

Lima ahli terbabit adalah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; bekas Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dan peguam bela serta peguam cara, Datuk Zuraidah Atan.

Awal pagi kelmarin, polis telah melakukan merampas sejumlah 72 beg yang mengandungi pelbagai mata wang asing, barangan kemas dan jam pelbagai jenama di sebuah unit Pavilion Residence Apartment.

Dalam pemeriksaan itu juga, polis mengeluarkan 284 kotak oren dipercayai mengandungi beg tangan pelbagai jenama di premis berkenaan.

Pemeriksaan yang dilakukan polis itu berkaitan dengan siasatan kes 1Malaysian Development Berhad yang dilakukan serentak dengan lima lokasi lain iaitu Pejabat Perdana Menteri, kediaman peribadi Najib dan dua lagi unit apartment di lokasi sama. - Sinar Harian