Skip to main content

Jodoh Sudah Ditakdirkan Bersama Suami Orang, Kami Sudah Terima Bahagian Masing-Masing.


Inilah ujian paling berat diterima selama lebih 12 tahun menjadi anak seni... Mungkin boleh saya simpulkan sebagai kifarah hidup.

Begitulah pengakuan pelakon, Izreen Azminda tatkala berdepan 'tsunami' hidup yang hampir membuatkan dirinya menyembah bumi.

Ketika kontroversi memuncak, sana-sini orang mencaci, menghina dan menjatuhkan hukum selepas aktres yang pernah diangkat sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin TV3 pada 2013 itu memilih hidup sebagai isteri kedua, tahun lalu.

Hakikatnya, tiada kata yang dapat didustakan, jodohnya sudah ditakdirkan bersama suami orang yang juga pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, atau Ude.

Walaupun tidak lagi hidup bermadu selepas Ude menceraikan isteri pertama, Intan Liana Saleh, Mac lalu, namun api kebencian netizen masih tidak mampu dipadamkan sepenuhnya.

Akui Izreen atau nama penuhnya, Izreen Azminda Aznam, 33, apa yang dilaluinya dianggap ujian hidup.

"Mungkin ini semua kifarah hidup... Kun Faya Kun, jadi, maka jadilah ia.

"Saya, suami dan pihak di sana mungkin pernah melakukan kesilapan, jadi kami ditimpa dengan ujian hidup.

"Jujurnya, saya terlalu sibuk bekerja sepanjang lebih satu dekad, ada kala saya alpa dan lalai dengan perintah Tuhan. Allah pemberi rezeki dan Dia boleh merentapnya sekelip mata.

"Allah menjentik saya supaya kembali mengingati dan mendekatkan diri dengan-Nya. Mulanya, saya berat menerima ujian ini, tetapi saya harus reda," katanya kepada BH Online.

Berfikiran positif, Izreen berkata, Allah mungkin menarik rezekinya, tetapi dirinya dianugerahkan dengan suami.

"Begitu juga pihak di sana... Allah menarik suaminya, tetapi memberikannya dengan rezeki melimpah ruah.

"Itu yang diinginkan selama ini, Allah menunaikannya. Kami sudah menerima bahagian masing-masing... Allah Maha Adil," katanya.

Wanita kelahiran Kangar, Perlis itu berkata, bohonglah jika dia mengatakan rezekinya tidak terjejas akibat kontroversi yang melandanya itu, tetapi Allah menyelamatkannya.

"Mana-mana selebriti yang dilanda kontroversi pasti berdepan kesan buruk terhadap kerjaya. Tetapi saya bersyukur, kehidupan saya masih sama, ada saja rezeki lain yang diberikan.

"Allah membuka jalan lain untuk saya mencari rezeki. Masih ada rezeki untuk saya menyelesaikan perbelanjaan diri dan keluarga.

"Saya percaya Allah menimpakan saya ujian sebelum memberi kebahagiaan. Tidak semua manusia diberikan ujian seberat saya, jadi berterima kasihlah kepada Tuhan kerana tidak melalui perjuangan yang pahit ini," katanya.
Mengambil keberkatan hari baik dan bulan baik pada Ramadan al-Mubarak ini, Izreen berkata, dia sudah mengosongkan hatinya untuk memaafkan netizen yang pernah menjatuhkan hukum serta melemparkan fitnah terhadapnya dan keluarga.

"Ada yang mempertikaikan kenapa saya pula beriya-iya memaafkan netizen, sedangkan saya dilihat bersalah? Tidak berdosakah apabila kita memaki hamun, mencarut dan membuat fitnah?

"Ada masanya saya malu melihat mereka yang mengutuk dan menghina saya, seperti tiada lagi keampunan. Mereka tidak berada dalam kehidupan saya dan Ude," katanya.

Izreen berkata, banyak perkara tidak didedahkan demi menjaga maruah dan aib.

"Bagi saya dan suami, kami tidak perlu berkongsi kisah luar atau dalam kain, siapa betul dan salah, biarlah waktu yang menentukannya.

"Menghukum orang tanpa tahu kebenarannya adalah berdosa. Jadi, tidak perlulah terlalu taasub dan emosi terhadap kehidupan orang lain. Tolong hormati kehidupan kami," katanya.

Tambah Izreen, ibunya selalu berpesan supaya memaafkan sesiapa saja, biarpun dalam keadaan yang cukup sulit.

"Ibu berpesan, apabila memaafkan orang ketika hati sedang marah dan memberontak, insya-Allah, saya beroleh ketenangan dan kesabaran.

"Ya, saya melakukannya, saya kosongkan hati, maafkan semua orang. Saya rasa puas dan tenang selepas itu. Katalah apa saja, saya tidak mahu ambil kisah lagi.

"Saya juga akan menutup ruangan komen dalam laman Instagram buat selama-lamanya. Saya tidak mahu melihat perbalahan, keji mengeji dan komen 'sampah' lagi. Saya tidak suka bangsa sendiri mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya, sedangkan saya lihat mereka adalah kaum ibu dan mempunyai anak-anak," katanya.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama Isabella dan Juvana itu berkata, dia bahagia menjalani kehidupan bersama suaminya, biarpun sudah hampir enam bulan hidup dalam kecaman.

"Saya mahu menjadi isteri yang terbaik buatnya. Keruntuhan rumah tangga sebelum ini menjadi pengajaran terbesar buat saya dan Ude. Kami bukan saja mahu memperbaiki kekurangan, malah ingin menjadi insan lebih baik untuk kehidupan baharu ini.

"Saya akui, dulu saya dan bekas suami terlalu sibuk bekerja. Bayangkan, saya terbang ke Korea Selatan sehari selepas bernikah. Kami tidak banyak masa bersama.

"Saya percaya, masa itu emas dan ia amat berharga bagi setiap perkahwinan. Dulu, kami sentiasa sibuk dan berjauhan," katanya.

Pada bulan puasa ini juga, Izreen berkata, dirinya tidak terlalu sibuk dan mahu mengambil peluang menjalani tanggungjawab sebagai isteri menyiapkan juadah berbuka dan bersahur.

"Saya lihat suami suka makan di rumah. Dia pula tidak cerewet dalam soal makanan, asalkan pedas.

"Ude suka lauk kering, saya pula berkuah. Jadi, saya kena menyiapkan beberapa jenis masakan. Ude paling suka asam pedas ayam. Saya sendiri masih belajar masak asam pedas orang Johor.

"Saya memang suka memasak jika tiada kerja. Saya mahu ambil kesempatan ketika tidak sibuk bekerja dengan mencuba pelbagai resipi pada Ramadan ini," katanya. Berita Harian Online
 

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...