Skip to main content

GST Sifar Peratus Tanda Kejujuran Kerajaan Pakatan Harapan.


DAP Sarawak menyifatkan pengumuman penurunan kadar GST kepada sifar bermula Jun ini sebagai bukti kejujuran kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam memenuhi janji manifestonya.

"Pengumuman ini menunjukkan HARAPAN jujur dan konsisten dalam inisiatifnya untuk memansuhkan cukai yang memberi kesan yang besar kepada kuasa beli rakyat," kata Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sarawak Abdul Aziz Isa.

Beliau berkata, pemansuhan GST adalah janji utama HARAPAN pada PRU ke-14 memandangkan sistem cukai itu dilihat sebagai antara punca kenaikan kos sara hidup.

Pengumuman itu bermakna GST akan 'dimansuhkan' bermula 1 Jun ini. Kerajaan bagaimanapun perlu menunggu parlimen bersidang sebelum memansuhkan Akta GST 2014 secara rasmi.

Abdul Aziz mendakwa BN melaksanakan cukai itu ke atas rakyat bagi menampung hutang kerajaan terdahulu.

"Kami berpandangan cukai berlebihan kepada rakyat, terutama golongan B40, boleh dielakkan. Semua tahu ia diperkenalkan bagi menampung kerugian akibat skandal 1MDB," katanya (gambar).

Selain isu itu, antara janji utama HARAPAN pada PRU ke-14 adalah menyiasat 1MDB.

Dua isu itu dilihat 'ramuan' utama kejayaan gabungan itu mencatat sejarah mengalahkan BN yang sekian lama memerintah sejak kemerdekaan negara.

Abdul Aziz menyuarakan keyakinannya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menguruskan ekonomi negara tanpa cukai itu, yang menyumbangkan kira-kira RM29.81 bilion kepada pendapatan negara pada tahun lalu.

"Mahathir pernah menjadikan Malaysia sebagai kuasa ekonomi Asia Tenggara. Kami yakin beliau dapat menguruskan ekonomi tanpa GST.

"Bayangkan jika BN masih menjadi kerajaan selepas PRU? Pastinya mereka akan terus mengenakan cukai kepada rakyat pada kadar enam peratus," katanya lagi.

Beliau juga berharap rakyat memberi cukup masa kepada kerajaan untuk memenuhi janji yang lain kerana tidak mudah untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan BN yang mentadbir negara sejak sekian lama.

Semalam Datuk Seri Najib Razak tetap menyifatkan janji Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghapuskan GST dan melakukan pembaharuan ekonomi sebagai fantasi dan tidak realistik.

"Itu (janji HARAPAN) adalah fantasi. Tak mungkin mereka boleh melaksanakannya," katanya dipetik dalam wawancara Malay Mailsemalam.

Najib berkata demikian sebagai merujuk janji HARAPAN membuat pengecualian dan penangguhan bayaran PTPTN, menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak.

Najib turut menyatakan keraguannya terhadap langkah mengurangkan GST kepada sifar yang merupakan langkah sementara yang diumumkan HARAPAN dalam penghapusan cukai berkenaan.

"GST sifar bukan apa yang mereka janjikan. GST sifar boleh juga bererti anda boleh tambah bila-bila masa," katanya.

Najib turut menyifatkan laporan yang mengatakan pentadbirannya gagal sebagai percubaan HARAPAN memburukkan imejnya.

"Sudah boleh dilihat bahawa tiga hari selepas pilihan raya, mereka kata ekonomi dalam keadaan kukuh.

"(Sedangkan) sebelum itu mereka kata ekonomi dalam keadaan teruk, kita sedang bankrap, dan Malaysia perlu diselamatkan.

"Adakah mereka cuba katakan bahawa ekonomi pulih dengan secepat itu?

"Simpanan kewangan kukuh, dan kita ada pertumbuhan yang baik?

"Tidak! Ini adalah kenyataan yang dibuat tiga hari selepas pilihan raya," katanya dan menambah bahawa ekonomi sedia baik di bawah BN.

Popular posts from this blog

Polis tahan 7 lelaki, seorang wanita bantu siasatan kes pukul di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Polis telah menahan tujuh lelaki dan seorang wanita sejak semalam bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul sekumpulan individu di sebuah rumah di flat Plentong, dekat sini, Jumaat lalu. Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak ketika dihubungi berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan daripada mangsa pada Sabtu lalu. Katanya, permohonan reman terhadap kesemua individu yang ditahan sedang diproses bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Semalam, tular di media sosial sebuah video memaparkan seorang lelaki dipukul oleh lima hingga tujuh individu di dalam sebuah rumah di lokasi kejadian. Susulan kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima sembilan jahitan — tiga di bahagian bibir kanan dan enam lagi di telinga kiri. Mangsa yang berusia 21 tahun bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Taman Puteri, Kluang. Difahamkan, ketika kejadian, mangsa berada di rumahnya sebelum menerima pesanan ringkas kira-kira jam...

Konflik dalaman keluarga punca suami kelar isteri, bakar 4 kenderaan di rumah mentua

TANGKAK – Polis mengesahkan bahawa punca seorang suami mengelar isterinya sehingga maut berpunca daripada konflik dalaman keluarga yang dihadapi pasangan tersebut. Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, pada mulanya pihak polis menerima laporan berkaitan kejadian kebakaran melibatkan empat buah kenderaan. Bagaimanapun, suspek yang dibawa ke balai polis kemudian memaklumkan bahawa isterinya telah meninggal dunia di kediaman mereka di Bukit Gambir. “Bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah digerakkan ke rumah suspek dan mendapati isteri suspek telah meninggal dunia dengan kesan kelar pada leher. “Mayat mangsa ditemui dalam keadaan berselubung dan sebilah pisau berlumuran darah yang dipercayai digunakan dalam kejadian turut dijumpai berhampiran wanita tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Rabu. Beliau turut memaklumkan bahawa hasil ujian air kencing terhadap suspek didapati negatif daripada sebarang pengaruh dadah. Sebelum ini, katanya, s...

Pempengaruh mati ditembak ketika ‘live’ TikTok

ZAPOPAN: Seorang pempengaruh media sosial di Mexico mati ditembak ketika sedang bersiaran langsung di aplikasi TikTok miliknya, Selasa lalu. Menurut pihak berkuasa Jalisco, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 petang. Siasatan awal mendapati suspek lelaki menaiki motosikal, tiba di salon milik Valeria Márquez, 23, sebelum melepaskan tembakan terhadap mangsa. Márquez yang memiliki hampir 200,000 pengikut di TikTok, rebah di hadapan kamera selepas dipercayai ditembak di bahagian dada dan kepala, berdasarkan rakaman video berkenaan. Beberapa saat kemudian, seorang wanita yang berada di dalam salon dilihat mengambil telefonnya dan menghentikan siaran langsung itu. Márquez disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Menurut pihak berkuasa, suspek kemudiannya melarikan diri dan masih belum diberkas. Kes kini disiasat di bawah protokol femisid, yang diaktifkan apabila seorang wanita dipercayai menjadi mangsa pembunuhan berpunca daripada jantina. Insiden itu mencetuskan kemarahan umum di Mexico...