Kanak-Kanak Terpaksa Berhenti Sekolah Gara-Gara Anak Patung Miliki Kemaluan Lelaki.


LEICESTER: Seorang ibu terpaksa memberhentikan anak perempuannya daripada meneruskan sesi persekolahan selepas mendapati anaknya itu bermain dengan anak patung permainan kanak-kanak perempuan yang disertakan dengan alat kemaluan lelaki.

Kejadian ini difahamkan telah berlaku di Sekolah Forest Lodge Academy di Leicester, England yang mana ibu tersebut terpaksa melakukan sedemikian demi menyelamatkan anaknya daripada perbuatan tidak senonoh itu.

Menurut laporan daripada Metro.uk, ibu tersebut yang dikenali sebagai Ziba Khan telah meluahkan rasa terkejut apabila mendapati anaknya yang berusia empat tahun sedang bermain dengan anak patung tersebut.

Tambahnya lagi, dia mula menyedari mengenai anak patung tersebut apabila anaknya pulang ke rumah dan mula bercerita mengenai anak patung yang bernama Willie.

Susulan daripada kejadian itu, Khan yang bimbang mengenai tingkah anaknya cuba mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah.

Bagaimanapun, wanita itu sekali lagi tergamam apabila dimaklumkan ia hanyalah alat permainan untuk kanak-kanak yang baru sahaja memulakan sesi persekolahan.

Akibat daripada perkara itu, dia terus mengambil langkah yang drastik dengan memberhentikan anaknya dari sekolah itu.

Tindakannya itu tidak bermakna dia menentang subjek pendidikan seks tetapi katanya ibu bapa perlulah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara itu sebelum membiarkan anak mereka terdedah dengan perkara tersebut.

Menurut Khan,tindakan yang dilakukan oleh pihak sekolah terbabit seolah-olah menidakkan haknya sebagai ibu untuk menjalankan tanggungjawab memberi penerangan mengenai perkara-perkara penting kepada anaknya.

Khan juga berkata bahawa memberi pendedahan kepada pendidikan seks dan memberikan alat permainan mempunyai unsur-unsur seks adalah dua perkara yang berbeza.

Bagaimanapun, susulan daripada kejadian itu, Khan telah memfailkan aduan kepada Jabatan Pendidikan dan Majlis Bandaraya Leicester untuk mereka menjalankan tindakan lanjut. Sumber: Astro Awani, Editor: Amira