OREGON: Seorang kanak-kanak lelaki yang baru sahaja berumur 8 tahun telah meninggal dunia selepas mendapat kecederaan yang teruk dan turut dijangkiti sejenis bakteria pemakan daging apabila bahagian badannya terluka akibat terjatuh daripada basikal.
Walaupun terdapat empat pembedahan yang melibatkan anggota badannya, mangsa iaitu Liam Flanagan tidak dapat diselamatkan.
Liam dikatakan terjatuh daripada basikal pada 13 Januari yang lepas selepas menaikinya ketika menuruni bukit di Spring Creek, Oregon.
Bagaimanapun, pemegang basikal tersebut telah tertusuk ke dalam seluar jeans yang dipakainya sehingga dia terpaksa di bawa ke hospital untuk di jahit.
Tetapi selepas beberapa hari kemudian, ketika sedang berehat di rumah Liam dipercayai mula merasai kesakitan di bahagian yang di jahit itu.
Difahamkan, kesakitan itu mula dirasai kembali kerana terdapat penyebaran kuman yang berwarna ungu seakan kemerahan di sekitar pangkal pahanya.
Ibunya, Sara Hebard dan bapa tirinya, Scott Hinkle terus membawanya ke Hospital St Anthony di mana mereka diberitahu bahawa Liam telah dijangkiti oleh sejenis bakteria pemakan daging, yang mungkin datang dari tanah dan merebak ke tempat luka Liam.
Selepas perkara tersebut disahkan, Liam terpaksa menjalani beberapa lagi pembedahan untuk membuang bahagian tisu badannya yang dijangkiti.
Bercakap kepada Oregon Live, Scott berkata, “Warna bakteria itu seakan warna ungu kemerahan. Kami mengangkatnya dan terus membawanya ke hospital.”
“Kami melihat doktor membuang kulit Liam sedikit demi sedikit.”
Ibu kepada Liam menambah, “ Hampir kesemua daging di bahagian kanak hilang. Mereka menggunting dan membuangnya. Gunting dan buang.”
Doktor yang merawat Liam memberitahu bahawa kemungkinan Liam telah dijangkiti dengan sejenis bakteria ‘nekrosis faciitis’ yang mana bakteria tersebut hanya akan memakan tisu lembut di sekitar badan Liam.
Apabila mendapati bahawa keadaan Liam tidak beransur pulih, Liam telah dipindahkan ke hospital kanak-kanak yang baru tetapi apa yang menyedihkan, dia telah meninggal dunia pada malam itu juga.
Ibunya, Sara menyifatkan bahawa anak lelakinya itu merupakan seorang yang kuat dan berani melawan penyakit dan sentiasa tersenyum walaupun dia sedang mengalami kesakitan.
“Dia ibarat matahari yang menyinar. Dia sayangkan semua orang dan semua orang sangat sayangkan dia.”
“Dia adalah salah seorang yang akan berjalan ke dalam bilik dan akan membuatkan orang jatuh hati dengannya.”
Pasangan ibu bapa Liam dipercayai sedang cuba menjalankan kempen kesedaran buat ibu bapa yang lain mengenai kesedaran dan bahayanya bakteria kepada manusia.
“Kami tidak mahu orang lain mahupun ibu bapa kanak-kanak yang lain mengalami perkara yang sama seperti kami.” Sumber: Daily Mail, Editor: Amira