"Pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel Tidak Sah"


NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan bahawa keputusan Amerika Syarikat (AS) yang ingin mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak sah dan terbatal.

Pengisytiharan itu dibuat dalam pengundian yang terdiri daripada 128 negara yang menolak keputusan AS itu, dengan sembilan lagi negara yang menyokong.

Difahamkan,  35 negara lain mengambil pendirian berkecuali dalam sesi undian tersebut, manakala wakil 21 negara tidak hadir.

Ia juga disifatkan sebagai satu kemenangan buat Palestin biarpun mencatat sokongan lebih rendah berbanding 150 yang dijangka pada sebelum ini. Pengundian tersebut berlangsung pada Khamis lalu.

Terdahulu, AS menerusi dutanya ke PBB, Nikki Haley mengulangi ancaman Presiden Donald Trump untuk memotong bantuan kewangan kepada mana-mana negara yang bertindak menyokong resolusi berkenaan sebelum pengundian 193 negara itu.

Berdasarkan keputusan undian di PBB, itu tidak menghalang rancangan Washington untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis, tegas Haley. Sumber: Astro Awani. Editor: Atila Atasha