Pemandu Grab Dipukul Sekumpulan Pemandu Teksi Kerana Mengambil Penumpang Di Lapangan Terbang.

Kota Bharu - Berlaku kekecohan di Lapangan Terbang Kota Bharu yang membabitkan kumpulan pemandu Grabcar dengan kumpulan pemandu teksi.

Menurut sumber, kekecohan tersebut dipercayai berlaku berpuca daripada kumpulan pemandu teksi yang bertindak memukul seorang pemandu Grabcar kerana mengambil penumpang di kawasan lapangan terbang tersebut.

Pemandu Grab car terbabit dikatakan telah dibelasah oleh beberapa orang pemandu teksi yang tidak berpuas hati dengannya kerana mengambil penumpang di kawasan lapangan terbang tersebut kerana dikatakan kawasan berkenaan adalah merupakan kawasan mencari makan mereka.

Susulan kejadian tersebut, lebih 70 orang pemandu Grab di kelantan telah menghantar surat bantahan kepada pihak pengurusan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP).

Surat tersebut telah diserahkan kepada Wakil Malaysia Airports Berhad (MAHB) LTSIP bagi meminta penjelasan serta ketetapan bagi pemandu Grab yang mahu mengambil serta menghantar penumpang di lapangan terbang berkenaan.

Menurut wakil pemandu Grab Kelantan Azizi Ismail berkata bahawa kehadiran mereka ke sana adalah bagi menghantar memorandum kepada pihak Malaysia Airports berkenaan isu pemandu teksi yang bertindak memukul pemandu Grab.

Menurutnya lagi, terdapat banyak laporan yang dibuat oleh pemandu-pemandu Grabber Kelantan mengenai sikap pemandu teksi yang suka menganggu mereka ketika sedang mencari penumpang.

“Kalau mengikut akta, RUU telah meluluskan pada sesi Parlimen lepas bahawa perkhidmatan e-hailing ini boleh bergerak aktif di mana-mana, janji dia tak menyalahi dari segi undang-undang pengangkutan jalan, (serta peraturan) yang ditetapkan oleh Grab dan Spad,” ujar Azizi lagi.

Pemandu Grab yang berusia awal 20-an itu bagaimanapun bernasib baik walaupun telah dibelasah oleh beberapa orang namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Walau bagaimanapun mangsa sudah pun membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpanya itu.

Kumpulan pemandu Grab kemudiannya pergi menemui Pengerusi Persatuan Teksi dan Pemandu Kereta Sewa LTSIP, Abdul Rashid Mamat bagi menuntut penjelasan selepas mereka menyerahkan surat bantahan tersebut.

Sesi perbincangan yang pada mulanya sedikit tegang bagaimanapun berjaya ditenteramkan oleh beberapa individu yang turut berada ketika perbincangan tersebut.

Namun begitu tiada sebarang kata putus berjaya dicapai melainkan pihak Persatuan Teksi dan Pemandu Kereta Sewa LTSIP yang membenarkan pemandu Grab mengambil dan menurunkan penumpang hanya di Pintu C lapangan terbang itu.- Online News Today