BN Jangan Bangga Digelar 'Kingmaker', Hadapi Realiti Kita Ditolak Rakyat



Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan menegaskan, parti itu perlu menerima hakikat dan menghadapi realiti ditolak rakyat didalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan hanya memenangi 20 kerusi Parlimen sahaja di Semenanjung.

Menurut beliau, ahli-ahli juga tidak boleh berbangga parti itu disebut-sebut sebagai 'kingmaker' dalam menentukan pembentukan kerajaan memandangkan parti itu adalah asas dan tunjang yang kuat dengan memiliki majoriti Ahli Parlimen dalam kerajaan-kerajaan sebelum ini.

"Keputusan parti untuk bersama di dalam kerajaan perpaduan itu tidak mengubah realiti bahawa kita (Barisan Nasional) hanya menang 30 kerusi (Parlimen) dan UMNO khususnya di Semenanjung (UMNO) hanya menang 20 kerusi (Parlimen).
 
"Macam mana pun, (apa) yang berlaku didalam minggu-minggu atau bulan-bulan akan datang dari segi kedudukan kita di dalam kerajaan, apa yang kita buat di dalam kerajaan, itu semua sudah tentu perlu lakukan yang terbaik.

"Tetapi yang mustahaknya ialah bagaimana kita hendak bangkit daripada (hanya menang) 20 kerusi di Semenanjung dan 30 kerusi secara keseluruhannya (melibatkan BN) itu yang perlu difikirkan dan kita tak boleh menafikan realiti (kita telah tewas dalam PRU15)," kata Shahril.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan perjumpaan Santai Pemuda UMNO sempena PRU15 Parlimen Padang Serai di Lunas, di sini, pada Jumaat.

Tambah Shahril, barisan kepimpinan UMNO dan BN perlu mengaku dan memohon maaf kepada penyokong selepas mereka tidak berjaya membendung gelombang yang membawa kepada prestasi yang amat teruk dalam sejarah pilihan raya yang disertai parti itu. - Astro AWANI