Tiga Syarat Abang Johari Untuk PM

Hasil carian imej untuk Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
GEDONG: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meletakkan tiga syarat untuk menjadi rakan dalam penubuhan Kerajaan Persekutuan.

Tiga syarat tersebut adalah hak Sarawak mesti diakui, undang-undang Sarawak ke atas hak minyak dan gas mesti diakui dan GPS tidak termasuk dalam Perikatan Nasional (PN).

Menurut Abang Johari yang juga pengerusi GPS, syarat-syarat ini adalah sebagai 'mas kahwin' yang harus dipenuhi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas lamaran beliau kepada GPS untuk berada dalam barisan kabinet.

“Inilah kedudukan kita untuk menerima lamaran menjadi rakan dalam kerajaan pusat di bawah Muhyiddin.

“Beliau masuk dengan niat baik, jadi kita sambut dengan baik juga,” katanya pada Sesi Townhall Berambeh Ngan CM Abg Jo di Dewan Terbuka Kampung Gedong sempena Karnival Today for Tomorrow (T4T) anjuran Sarawak Volunteers pada Ahad.

Beliau berkata syarat-syarat berkenaan telah dibincangkan dan dipersetujui oleh semua parti komponen GPS – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Selain itu, GPS menetapkan syarat demikian demi masa depan yang cerah buat Sarawak.

Menerusi sokongan GPS itu, Abang Jo pada Sabtu ada memberi petunjuk akan mempunyai menteri di dalam Kerajaan Persekutuan yang akan terbentuk tidak lama lagi. - Astro AWANI