Bekas pemain Barcelona dan AC Milan itu berada di ibu negara Paraguay, Asuncion bagi menghadiri majlis amal ketika polis mengunjungi hotel penginapannya dan dilaporkan menemui pasport palsu.
Dia dan abangnya, Roberto bagaimanapun tidak dibawa ke balai polis tetapi masih berada di bawah tahanan dan perlu hadir ke pejabat pendakwa raya pada Khamis.
Menteri Dalam Negeri Paraguay, Euclides Acevedo ketika bercakap mengenai perkara itu kepada ESPN Brazil berkata: “(Ronaldo dan abangnya) tidak ditahan, namun mereka masih dalam siasatan pihak berkuasa dan perlu diambil keterangan.
“Selepas itu baru diputuskan sama ada mereka perlu ditahan atau tidak,” katanya.
Tambahnya, kedua-duanya memberi kerjasama dalam siasatan itu dan percaya mereka diperdaya oleh individu yang menemani mereka dan sudah ditahan.
Ronaldinho mengumumkan persaraannya pada 2018 selepas merekodkan kerjaya cemerlang yang mana dia memenangi 13 trofi di peringkat kelab termasuk menjulang kejuaraan Piala Dunia bersama Brazil.
Dia turut memenangi anugerah Ballon d’Or pada 2015 dan dilabel sebagai pemain paling berbakat dalam generasinya. - Berita Harian Online