Menyentuh Hati, Melutut Merayu Demi Anak


Seorang wanita sanggup melutut untuk merayu kepada polis antirusuhan di Hong Kong supaya menyelamatkan anaknya ketika pihak berkuasa mengepung sebuah universiti di bandar raya tersebut sejak kelmarin.

Anak wanita itu dipercayai terperangkap dalam kampus 'zon perang' tersebut.

Dia turut meraung sambil menjerit berulang kali 'lepaskan anak saya' di luar Universiti Politeknik Hong Kong (PolyU) tersebut.

Wanita itu terdesak membuat rayuan itu selepas dua penuntut menyerah diri kepada polis.

Beberapa ibu lain turut berada di luar kampus terbabit menunggu anak masing-masing selepas pertempuran ganas tercetus di PolyU tersebut hingga polis terpaksa menggunakan peluru hidup terhadap kumpulan penunjuk perasaan yang menyerang mereka dengan senjata.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam berkata, penunjuk perasaan di kampus itu perlu menyerah diri jika mereka mahu krisis selama tiga hari itu diselesaikan secara aman.

Menurutnya, beliau percaya terdapat kira-kira 100 individu masih dikepung dalam PolyU itu.

"Objektif hanya boleh dicapai jika mendapat kerjasama penuh daripada kumpulan protes itu termasuk perusuh perlu menghentikan keganasan dan menyerahkan senjata mereka. Mereka perlu mengikut arahan polis. Kerajaan sangat bimbang dengan situasi berbahaya itu," ujarnya.

Fasa keganasan dan drama baharu di hab kewangan Asia itu pada minggu lalu telah membawa kepada kekacauan lebih buruk hingga memaksa penutupan sekolah selain menjejaskan perkhidmatan pengangkutan kereta api dan jalan utama. - Sinar Harian