Video: Kerana Tertekan Dibuang Kerja


Akibat tertekan kerana dibuang kerja, seorang lelaki bertindak masuk ke dalam kandang singa sebagai cubaan membunuh diri.

Insiden menggemparkan itu berlaku di Zoo Delhi dan ia menjadi tular selepas rakaman kejadian dimuat naik ke laman media sosial.

Bagaimanapun media melaporkan lelaki dikenali sebagai Rehan Khan itu dilaporkan selamat daripada menjadi “santapan” seekor singa yang sinonim dengan gelaran raja rimba.

“Pemuda berusia 24 tahun itu sudah hilang akal akibat dibuang kerja. Ketika disoal siasat, dia mengaku mahu membunuh diri,” kata jurucakap polis.

Kejadian itu berlaku sekitar 12.30 tengah hari (waktu tempatan), baru-baru ini.

Menurut saksi, pemuda berkenaan duduk di hadapan singa jantan tersebut selama kira-kira 15 minit sebelum diselamatkan kakitangan zoo.

Pada 2014, seorang pemuda maut dibaham harimau yang menjadi penghuni di zoo berkenaan.

Mangsa dikatakan memanjat pagar penghadang sebelum terjatuh ke dalam kandang harimau terbabit. Sumber : Free Malaysia Today