Nekad Terjun Dari Bangunan Plaza Di Jalan Peel


KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia lingkungan 40an bertindak di luar kawalan apabila nekad terjun dari tingkat 5 sebuah plaza di Jalan Peel, di sini pagi tadi.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan kecemasan melaporkan kejadian pada jam 8.42 pagi.

“Seramai 13 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan Pudu digerakkan ke lokasi.

“Setibanya di lokasi pada 8.51 pagi, pihak bomba mendapati terdapat seorang lelaki telah terjun dari tingkat 5 bangunan plaza tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata lelaki yang dalam lingkungan 40an itu bagaimanapun terselamat namun mengalami kecederaan.

Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk mendapatkan rawatan.

Punca sebenar dia bertindak demikian tidak diketahui namun dipercayai ingin membunuh diri.

Kes berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Astro AWANI