Powered by Blogger.

Thursday, October 10, 2019

Mungki Ada Lagi Yang Akan Ditahan, Termasuk Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy.


Mana-mana individu yang didapati menyatakan sokongan dan mempromosi kegiatan kumpulan pengganas, termasuk mengumpul dana untuk pergerakan kumpulan itu, boleh diambil tindakan.

Justeru, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menegaskan semua pihak harus berhenti membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan dan persepsi masyarakat.

Polis mempunyai 28 hari untuk menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan ada lagi individu yang akan ditahan bagi membantu proses siasatan, jika ada bukti mencukupi.

Ini termasuk Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.

“Saya tidak nampak apa tujuan kumpulan atau individu tertentu untuk mengaktifkan semula kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

“Daripada segi apa yang kita lihat, gambar-gambar yang dipamerkan itu adalah gambar LTTE, ini bukan isu perjuangan hak kaum Tamil di Sri Lanka dan sebagainya, ia adalah berjuang dan mempromosi kumpulan pengganas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Ayob menjelaskan, mengikut undang-undang negara ini, LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas sejak 2014.

“Kita ada undang-undang sendiri, LTTE turut disenaraikan sebagai pengganas di Amerika Syarikat, India dan Sri Lanka,” katanya.

Semalam, BH melaporkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Ayob dilaporkan berkata, operasi khas dilancarkan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak bermula jam 9 pagi hingga jam 2 petang semalam.

“Kedua-dua ADUN terbabit dikesan menghadiri program Hari Perwira LTTE di Melaka pada 28 November tahun lalu dan memberikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan pengganas terbabit, selain turut mengedarkan risalah berkaitan kumpulan itu,” katanya. - Berita Harian Online