MOSCOW - Seakan-akan Mowgli, perwatakan kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun mencuri perhatian masyarakat apabila dia seperti haiwan ketakutan, merangkak ketika ditemui di tepi jalan di Oryol, Russia.
Kanak-kanak itu dikatakan melarikan diri dari sebuah sangkar setelah dijual oleh ibunya, Madina, 38, kepada seorang pedofilia semata-mata hanya mahukan sebotol arak.
Memetik Mirror, kanak-kanak bernama Diana itu tidak boleh bertutur seperti manusia sebaliknya hanya menyalak dan tidak boleh berdiri manakala mukanya kelihatan tua dari usianya.
Difahamkan, ibunya memaksanya dia tinggal di sangkar bersama anjing, itik, lembu, ayam ketika musim panas dan musim sejuk malah bukan itu sahaja, si ibu juga bertindak kejam dengan membiarkan dia tidur atas lantai.
Dia juga tidak memberikan apa-apa peralatan makanan seperti sudu serta garfu di perkampungan di Luka Zhuravinka, di Oryol.
Polis melaporkan, kanak-kanak itu umpama 'Mowgli' kerana badannya merengkot, menerkam makanan seperti haiwan dan meludahkan semula makanan serta cuba memakannya sekali lagi.
Dalam pada itu, ibu yang memiliki anak lapan ini menafikan dakwaan sedemikian dan kini polis masih teruskan siasatan atas tuduhan penderaan serta pengabaian.
Difahamkan, bapa mangsa dari Belarus dilaporkan meninggal dunia pada awal tahun ini.
Media Russia menunjukkan gambar kanak-kanak itu tidur dalam keadaan meringkuk dan enggan tidur di atas katil di hospital.
The Oryol Times yang memetik sebuah hospital melaporkan mangsa didakwa menderita keletihan dan kini dirawat. - Sinar Harian