Powered by Blogger.

Saturday, September 14, 2019

Video: Wanita Langgar Kereta Penyamun Untuk Selamatkan Diri


KUALA LANGAT - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila hampir disamun lima lelaki bersenjatakan parang di hadapan rumahnya di Taman Sri Bunut dekat sini kelmarin.

Bagaimanapun tindakan berani wanita berusia 46 tahun itu mengundurkan kereta sehingga melanggar kereta dinaiki suspek berjaya menyelamatkan dirinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam ketika wanita terbabit memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Lexus memasuki pekarangan rumah.

Menurutnya, suspek yang menaiki kereta Toyota Vios memberhentikan kenderaan di hadapan rumah mangsa sebelum empat daripada mereka menghampiri kereta mangsa.

"Suspek yang bertopeng muka dan bersenjatakan parang bertindak mengetuk bagi memecahkan cermin kereta mangsa. Mangsa kemudian mengundurkan kenderaan sehingga melanggar kereta suspek yang berada di belakangnya.

"Tindakan mangsa menyebabkan suspek melarikan diri. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kereta dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu milik sebuah motosikal.

Katanya, usaha mengesan suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian