Lelaki Serang Bekas Isteri Dan Mentua Dibebaskan Atas Faktor Kesihatan - Polis


KUALA LUMPUR: Lelaki didakwa menyerang bekas isteri dan bapa mentua yang tular di media sosial sejak semalam, sudah ditahan pada 9 September lalu namun dibebaskan hari yang sama dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata suspek yang berusia 34 tahun, dibebaskan atas faktor kesihatan selepas mengemukakan surat rujukan perubatannya.

“Kita menerima laporan daripada mangsa (isteri suspek) pada 4 September lalu.

“Suspek datang memberi keterangan dan ditangkap pada 9 September lalu, namun dibebaskan kerana fakfor kesihatan.

“Ketika ini, polis masih menunggu laporan penuh perubatan mangsa daripada pihak berkaitan sebelum merujuk kes berkenaan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sebelum ini, beberapa gambar memaparkan mangsa dan bapanya mengalami kecederaan di bahagian kepala tersebar di media sosial terutama Facebook.

Mereka dikatakan diserang oleh bekas suami mangsa yang tidak berpuas hati berhubung kemelut rumah tangga. - Berita Harian Online