Che Ta Lega Aaisyah Sembuh


SELEBRITI terkenal, Rozita Che Wan atau Che Ta menjelaskan, keadaan kesihatan anak perempuan tunggalnya, Aaisyah Dhia Rana semakin baik dan akan keluar dari hospital secepat mungkin.

Dihubungi bagi mendapatkan status kesihatan Aaisyah terkini, kata Che Ta menjelaskan sepatutnya anaknya itu sudah boleh keluar, hari ini.

Aaisyah ditahan di wad Hospital Pakar KPJ Damansara Ahad lalu, selepas disahkan mengalami jangkitan kuman dan demam.

Bagaimanapun kata pelakon yang popular menerusi watak Kiah Pekasam itu, penyakit yang dihadapi oleh Aaisyah tidak serius.

“Dia terkena jangkitan itu mungkin sewaktu di sekolah, memandangkan dalam waktu sama ada beberapa murid turut demam dan tidak sihat.

“Faktor cuaca juga menjadi penyebab, sebab kebelakangan ini hujan dan sejuk, jadi budak-budak mungkin tidak tahan dan mengakibatkan mereka mudah dijangkiti virus,” katanya.

Tambah Che Ta lagi, doktor menahan Aaisyah di wad, bagi membolehkan mereka memantau perkembangan kesihatan dan virus yang menjangkiti anaknya.

“Maklumlah anak kecil kalau sakit memang ke beri perhatian lebih. Jadi tinggal di wad beberapa hari memudahkan proses penyembuhan,” katanya.

Menyentuh mengenai sambutan hari jadi keempat tahun Aasiyah dirancang diadakan pada 1 November ini, kata Che Ta rancangan sudah berubah.

“Disebabkan Aaisyah baru saja sihat jadi kami merancang untuk mengadakan sambutan hari lahir secara kecil-kecilan saja. Kami sekeluarga akan bercuti ke Jepun pada tarikh itu dan menyambut ulang tahun hari lahir Aaisyah di sana,” katanya. - Harian Metro