Penduduk Sungai Kandis Tidak Tahu Mereka Terlibat Dengan Pilihan Raya Kecil - Lokman


Klang - Calon BN, Datuk Lokman Noor Adam mengakui bahawa calon tempatan PH mempunyai kelebihan dalam berkempen selama 14 hari sebelum PRK Dun Sungai Kandis.

Lokman mendakwa bahawa beliau kesuntukan masa jika hendak dibandingkan dengan calon PH, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

"Kalau nak dibandingkan dengan Ustaz Zawawi, beliau lebih ke depan daripada saya kerana dia anak tempatan dan orang di sini kenal dia.

"Saya ini ramai juga orang kenal tapi melalui akhbar, media sosial cuma kesempatan berjumpa itu tidak ada. Itu mungkin kelemahan di pihak kami dengan masa yang suntuk," katanya.

Merujuk kepada tempoh kempen yang hanya berbaki dua hari sahaja lagi, Lokman memberitahu bahawa beliau masih ada empat kawasan yang belum dijelajah termasuklah bahagian daripada Johan Setia, Bukit Naga dan Andalas.

Lokman turut mengakui bahawa beliau merasa bimbang kerana ketika dia turun padang masih terdapat pengundi di sini yang tidak tahu menahu tentang pilihan raya kecil yang bakal diadakan pada Sabtu ini.

"Ramai sebenarnya rakyat di sini tidak tahu mereka terlibat dengan pilihan raya kecil. Ini amat membimbangkan saya.

"Ada yang tanya saya, 'kena undi lagi? Bukan baru lepas undi? '. Kesedaran itu amat-amat kurang. Sekiranya peratus keluar mengundi di bawah 80 peratus, peluang saya untuk menang memang sangat tipis," katanya. - Sinar Harian