Tun Dr Mahathir Tak Setuju Kapal Perang China Di Laut China Selatan


Perdana menteri tidak bersetuju dengan kehadiran kapal perang China di Laut Cina Selatan dan mencadangkan penyelesaian “aman” dengan negara-negara Asean bekerjasama mengawal perairan itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad juga mencadangkan kapal perang tidak digunakan, sebaliknya kapal kecil yang mampu menghadapi ancaman lanun.

“Saya rasa tidak patut ada terlalu banyak kapal perang. Kapal perang menyebabkan ketegangan.

“Suatu hari seseorang mungkin buat salah dan pertempuran akan berlaku, sesetengah kapal akan musnah dan mungkin juga berlaku perang.

“Kita tidak mahu perkara ini berlaku,” beliau dipetik sebagai berkata dalam wawancara dengan South China Morning Post yang berpangkalan di Hong Kong.

Mahathir mencadangkan kawalan bersama negara-negara Asean kerana laut itu dikelilingi negara-negara itu.

Selain China dan Malaysia, Laut China Selatan turut menyaksikan perkongsian sempadan antara Vietnam, Filipina dan Indonesia.

“Tetapi jika China mahu turut serta dengan bot kecil, mereka dialu-alukan.

“Sesiapa saja, malah Amerika Syarikat pun jika mereka mahu ambil bahagian, jangan bawa kapal perang di sini,” tambahnya.

Mahathir berkata China juga mempunyai kelebihan jika lautan itu dibiarkan terbuka kerana ia dapat menggalakkan perdagangan.

Beliau membangkitkan Selat Melaka sebagai contoh perdagangan bebas yang mendukung laluan air.

Sebelum ini Tun Mahathir berkata kerjasama ketenteraan China dan Malaysia boleh menimbulkan kemarahan Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia berpotensi diserang pada masa akan datang.

Dr Mahathir merujuk kepada satu perjanjian yang ditandatangani oleh Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa lawatan beliau ke Beijing pada November lalu, di mana kedua-dua negara bersetuju akan mengadakan lebih banyak kerjasama ketenteraan di Laut China Selatan.

Bercakap pada ceramah yang diadakan oleh Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Dr Mahathir menjelaskan dalam perjanjian itu, sebuah pangkalan tentera laut diperlukan bagi kemudahan kapal perang yang membuat rondaan di kawasan itu.

“Jika kita membina sebuah pangkalan tentera laut dengan China, ia akan menarik perhatian AS dan berkemungkinan AS akan menyerang kita.

“Ia hanya pendapat saya, tetapi ada kemungkinan kita diheret ke dalam perang antara China dan AS.”

Dengan mengambil contoh Libya, katanya, AS pernah beberapa kali menyerang kilang penapis minyak yang dibina oleh China.

“Apabila China membina beberapa kilang penapis minyak di Libya, AS mengebom kerana mereka tidak mahu melihat tentera China berada di sana.”

Beliau berkata, Najib seharusnya mengambil pendekatan tidak berpihak kepada mana-mana negara dalam dasar luar negara kerana ia menjadi dasar negara sejak mencapai kemerdekaan.

“Sejak merdeka, kita tidak pernah menyebelahi mana-mana negara tetapi Najib kini berpihak kepada musuh AS.

“Saya amat bimbang, negara ini sepatutnya mengambil pendekatan yang neutral, kita tidak berpihak pada mana-mana negara sebaliknya mesra dengan semua negara di dunia.”

Dr Mahathir juga memberi amaran kerjasama ketenteraan negara ini dengan China boleh mencetuskan ketegangan hubungan kita dengan negara rakan baik lain.

“Kita juga akan terlibat dalam peperangan negara lain. Isu ini perlu ditangani dan dasar luar negara kita perlu dipinda.”