Powered by Blogger.

Friday, June 8, 2018

Tun Dr Mahathir Jelaskan Pertemuan Bersama Ahmad Zahid.


Pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan mengenai perjumpaannya bersama pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Mahathir, Zahid menelefon beliau menyatakan ingin berjumpa dan Zahid mengatakan beliau berminat untuk menyokong kerajaan.

"Beliau dialu-alukan untuk menyokong kerajaan, dan juga (mengalu-alukan) untuk menentang kerajaan juga," kata Mahathir ketika ditanya mengenai pertemuan itu.

Semalam Bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ini merupakan pertemuan pertama antara pemimpin tertinggi UMNO itu bersama Perdana Menteri sejak kerajaan Barisan Nasional tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Ahmad Zahid turut memuat naik sekeping gambar bersama Dr Mahathir di laman sosial Twitter dan Instagram peribadinya.

"Pertemuan tersebut berkisar tentang perbincangan mengenai perkembangan semasa politik negara.

"Pertemuan ini pastinya didambakan oleh semua pihak dan kami berterima kasih di atas layanan mesra Tun Mahathir," kata Ahmad Zahid ketika dihubungi Astro AWANI.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan intipati pertemuan selama lebih 40 minit itu.

"Pertemuan juga ada berkait dengan isu-isu masa lampau, tetapi biarlah ia menjadi rahsia kami berdua," katanya.

Ahmad Zahid kemudian bergegas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menaiki pesawat ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

Beliau dijangka pulang ke Malaysia sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.