Powered by Blogger.

Thursday, June 7, 2018

Kes Tengku Adnan Didakwa Hina Mahkamah Didengar 19 Julai Ini.


Permohonan 16 bekas anggota Umno untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital (menghina mahkamah) terhadap Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, akan didengar 19 Julai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Peguam Irzan Iswat Mohd Nor yang mewakili 16 individu terbabit berkata Hakim Datuk Nordin Hassan menetapkan tarikh itu selepas pengurusan kes itu di dalam kamarnya hari ini.

Kesemua 16 individu itu memfailkan permohonan atas alasan Tengku Adnan mengeluarkan kenyataan media yang disiarkan dalam portal berita Mstar pada 21 April lalu. 

Tengku Adnan didakwa bersifat percubaan untuk menggagalkan permohonan kesemua individu tersebut bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dengan menyatakan kononnya keanggotaan mereka ditamatkan.

Dalam permohonan ex-parte itu, kesemua 16 individu berkenaan mendakwa bahawa kandungan dalam kenyataan media tersebut adalah penghinaan sedangkan mahkamah pada ketika itu belum membuat keputusan, malah perbicaraan belum bermula.

Pada 27 April lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan 16 pemohon terbabit untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan parti itu yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO selepas gagal mengadakan pemilihan di peringkat Cawangan, Bahagian dan Ahli Majlis Tertinggi selama hampir lima tahun.

Hakim Datuk Wira Kamaludin Md Said membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal Jabatan Peguam Negara, yang mewakili Jabatan Pendaftaran Pertubuhan selaku responden pertama manakala Datuk Ab Rauf Yusoh dinamakan responden kedua dalam kapasitinya sebagai penjawat awam UMNO.

Hakim itu dalam penghakimannya memutuskan bahawa mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar perkara membabitkan pertelingkahan antara anggota dalam parti politik dan berdasarkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Keputusan parti politik atau perkara membabitkan hal ehwal perjalanan parti adalah muktamad dan tidak boleh dicabar, dirayu, disemak, dibatalkan atau dipertikaikan di mana-mana mahkamah. - Bernama