Anwar Tidak Akan Bertanding Di Parlimen Pandan.


Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan beliau tidak akan bertanding di Parlimen Pandan menggantikan kerusi yang disandang isterinya ketika ini

Menurtu laporan Utusan Online, Anwar Ibrahim menolak spekulasi akan mengambil alih kerusi Parlimen itu, Anwar berkata, tindakan itu dilihat tidak praktikal memandangkan Wan Azizah baru memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri perlu berundur diri lebih awal bagi memberi laluan kepadanya.
Anwar berkata, beliau tidak mahu memegang sebarang jawatan Kabinet ketika ini, sebaliknya, lebih gemar dan selesa menjadi ‘backbencher’ (ahli Parlimen biasa) terlebih dahulu sekiranya menang dalam mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Wan Azizah ada menawarkan kawasan Parlimen Pandan kepada saya untuk bertanding, namun tidak praktikal sebab beliau harus ‘berhenti’ awal.

“Saya juga kalau boleh tidak berhasrat untuk memegang jawatan Kabinet pada ketika ini. Jika saya menang, saya jadi ‘backbencher’ dahulu, saya mahu bebas mengelilingi beberapa tempat termasuk mempunyai komitmen mengajar dan berkuliah di universiti tempatan dan luar negara.

“Malah, saya pun belum ada pengalaman jadi ahli Parlimen biasa. Sebelum ini, saya pernah memegang beberapa jawatan menteri sehingga menjadi Ketua Pembangkang sekarang saya mahu jadi ‘backbencher’,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pertemuan Khas Bersama Wakil Rakyat PKR di Hotel One World, dekat sini.

Pertemuan tertutup itu menghimpunkan ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR.

Ini pertemuan rasmi pertama Anwar bersama semua wakil rakyat selepas pembebasan beliau dan mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. - UTUSAN ONLINE